• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Sedia Bantu Perkasakan Bidang Keusahawanan


Oleh: Afiq M. Zaid

HULU TERENGGANU, 22 Januari -Kerajaan negeri bersedia menyalurkan peruntukan di bawah tabung keusahawanan sekiranya usahawan dan bakal usahawan berkenaan berpotensi untuk maju lebih jauh dalan perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata keusahawanan merupakan bidang yang luas dan merangkumi semua jenis perniagaan.

Katanya, kerajaan negeri telah memperuntukan RM15 juta dalam Bajet 2019 sebagai tabung Keusahawanan bagi meningkatkan ekonomi usahawan dan ia merupakan bantuan dan peluang untuk individu yang mahu menceburi bidang keusahawanan serta  usahawan yang mahu mengembangkan perniagaan mereka.

 "Usahawan ini bukan sekadar dalam Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) atau Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sahaja, saya melihat dalam bidang pertanian, bidang penternakan malah bidang pelancongan juga dikira sebagai usahawan, dan Yayasan  Pembangunan Usahawan Negeri Teregganu (YPU) sebagai pelaksana keusahawanan (agensi pelaksana) bagi kerajaan negeri.

“Berapa yang kita putuskan (dalam bajet) itulah yang akan dibelanjakan,” beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Program Bicara Bajet 2019 Terengganu di Dewan Serbaguna i-Mits Manir, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun

Menurut Mohd Norkhuzaini yang juga ADUN Kota Putera, sesi dialog bersama usahawan antara usaha untuk mendekati golongan ini dari bawah.

"Jadi skop Exco usahawan ni kena tengok semua orang niaga, kita kena santuni mereka.Kalau pernah tengok sembang santai Exco bersama Usahawan, saya nak turun ke bawah sebab saya nak tanya lagi rakyat yang ada di bawah ni…apa lagi bentuk perniagaan yang pernah atau yang sedang mereka usahakan masih tidak ada dibawah Exco keusahawanan,’’ujarnya lagi.

Katanya, usahawan pelancongan juga termasuk dalam skop keusahawanan dan sebarang bentuk bantuan perlulah melalui saluran exco keusahawanan.

"Saya buat 'townhall' ataupun sesi dialog dengan 'travel-travel agency' lebih kurang 15 agensi, kita tanya apa hasrat agensi pelancongan ini, apa masalah mereka dan apa mereka mahu dalam skop keusahawanan, jadi mereka kata mereka mahu kembangkan bisnes mereka.

"Pelancongan adalah bidang yang besar pada dasarnya dan dari segi plan infrastrukturnya… itulah di bawah Exco pelancongan, bukan peruntukan kecil-kecil untuk bantu 'travel-travel agency' ni. Usahawan dalam bidang perlancongan dan semua jenis usahawan sepatutnya kena mari kepada Exco usahawan ini dari segi pengertian dia (keusahawanan).

Tambahnya lagi, bidang keusahawanan memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mampan kerana ia berpotensi mendorong inovasi, mewujudkan pekerjaan, meningkatkan produktiviti dan daya saing juga dilihat sebagai jalan penyelesaian kepada masalah pengangguran di negeri ini.

"Berkenaan dengan dana usahawan, kita nak ketengahkan dan kita nak persembahkan untuk rakyat menceburi bidang usahawan, tak kiralah usahawan pertanian ke, usahawan pelancongan ke, penternakan dan apa juga bentuk usahawan, mari kita jadikan ia satu kerjaya.

“Bidang usahawan ini diletakkan sebagai satu bidang utama untuk mengurangkan kadar pengangguran rakyat negeri Terengganu kerana kadar pengganguran kita agak tinggi iaitu 4.7 peratus jadi kita nak tarik anak muda atau orang yang tidak kerja ini dalam bidang usahawan bagi mengurangkan lagi kadar itu dan kita perlu tahu kerjaya usahawan  merupakan bidang  yang mempunyai potensi yang cukup luas sebenarnya,”ujarnya.

Tag: