• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Sokong Sebarang Usaha Bantu Pendidikan

KEMAMAN, 20 November – Kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha bagi membantu para pelajar dalam pembangunan pendidikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata ia berikutan program penyerahan Dewan Terbuka kepada para pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok di sini.

Katanya, terima kasih kepada semua hadirin yang turut menyertai dalam detik bersejarah ini dan semua yang terlibat dalam merealisasikan projek ini.

“Penyerahan tersebut turut memberikan semangat baru kepada komuniti pendidikan kami.

“Dewan ini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi lambang kesungguhan kita dalam melahirkan generasi yang cemerlang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok (SKBM) bertempat di Dewan Terbuka SKBM pada Ahad.

Turut hadir dalam majlis ini adalah pegawai-pegawai daripada Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan kampung (JPKK) Bukit Mentok.

Mengulas lanjut mengenai program, ia telah berlangsung dengan meriah pada hari berkenaan.

Majlis yang dinanti-nantikan ini telah dirasmikan dengan penuh kemuliaan oleh, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu, Tuan Kahar Abdul Latif.

Tambah Hafiz, Dewan yang baru diserahkan ini diharapkan memberi manfaat kepada para pelajar.

Sekali gus, menjadi tempat berlangsungnya pelbagai aktiviti akademik dan kokurikulum yang dapat memberi impak positif kepada pembangunan pendidikan di sekolah berkenaan.

"Saya yakin, dengan sokongan semua pihak, Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok ini akan terus bersinar dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan.

"Mari bersama-sama menjadikan dewan ini tempat yang memupuk ilmu, kreativiti, serta semangat kebersamaan dan selamat maju jaya buat semua para pelajar," ujarnya.

Sementara itu, majlis penyerahan ini mencerminkan komitmen bersama dalam menyokong kemajuan pendidikan di daerah ini.

Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok kini memiliki kemudahan yang lebih baik untuk memberi pendidikan yang berkualiti kepada pelajar-pelajar.

Diharapkan dapat mencorak masa depan yang lebih cerah bagi generasi mendatang.


Tag: