Kerajaan Negeri Tanggung Kos Kebumi Mangsa Nahas Bas Pelajar UPSI

KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Kerajaan negeri akan membantu keluarga mangsa  yang terlibat dalam tragedi nahas bas yang mengorbankan sejumlah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Lebuh Raya Timur–Barat (Gerik–Jeli) awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata antara bantuan yang diberikan ialah menanggung semua kos pengurusan jenazah dan pengebumian.

"Ini termasuk pengangkutan jenazah dari lokasi kejadian ke kampung halaman masing-masing. 

"Kita juga sediakan sokongan logistik kepada keluarga mangsa yang berada di hospital atau di lokasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, kerajaan negeri, turut menzahirkan rasa amat dukacita dan simpati yang mendalam terhadap tragedi nahas bas yang mengorbankan 15  pelajar (UPSI) itu.

Tambah Maliaman lagi, pihaknya juga menggerakkan pasukan sokongan psikososial bagi membantu ahli keluarga mangsa, termasuk menyediakan khidmat kaunseling dan bantuan segera yang diperlukan oleh waris .

"Perkara tersebut juga telah  diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato' Satiful Bahri Mamat pagi tadi," ujar beliau.

Menurutnya, kejadian yang menyayat hati itu merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja buat keluarga, bahkan kepada negeri Terengganu yang selama ini amat berbangga dengan semangat anak-anak muda dalam menuntut ilmu.

"Kami mendoakan agar roh semua mangsa dicucuri rahmat dan keluarga mereka diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini," katanya.
 


Tag: