• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Teruskan Pemeriksaan Mamogram Percuma Bagi Wanita B40

KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan negeri akan meneruskan program pemeriksaan kanser payudara (mamogram) dan penyakit kanser perviks (pap smear) secara percuma kepada wanita B40 di Negeri Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata kanser payudara merupakan kanser yang paling banyak mengorbankan nyawa kaum wanita di negara ini.

Katanya, statistik terkini mencatatkan satu daripada 19 orang wanita menghidap kanser payudara di Malaysia.

"Pencegahan awal melalui pemeriksaan mamogram sangat berkesan dan perlu disediakan kepada kaum wanita terutamanya kepada yang mempunyai faktor risiko yang tinggi terhadap penyakit ini.

"Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2019 menunjukkan kira-kira 75 peratus wanita berusia 40 tahun ke atas di Malaysia tidak pernah menjalani pemeriksaan mamogram sekali gus memperlihatkan tahap kesedaran yang masih rendah," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Perbahasan ke Atas Enakmen Pembekalan 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tambah Zuraida, di Terengganu, pusat-pusat perubatan yang menyediakan pemeriksaan mamogram terletak di pusat bandar dan keadaan ini menyukarkan golongan wanita yang tinggal di pedalaman atau luar bandar untuk membuat pemeriksaan.

Tambahnya, berdasarkan pelaksanaan sebelum ini, selepas mereka membuat saringan kelayakan, mereka yang terpilih akan ke hospital di sekitar bandar Kuala Terengganu untuk membuat pemeriksaan mamogram.

"Ini menyulitkan bagi wanita-wanita yang berada di luar bandar dan pedalaman serta jauh dari bandar Kuala Terengganu termasuk masalah pengangkutan.

"Kos perjalanan yang besar menyebabkan wanita ini tidak bersungguh dan menangguh untuk membuat pemeriksaan mamogram,' katanya.

Justeru itu katanya, beliau mencadangkan agar diluaskan lagi kaedah program pemeriksaan mamogram ini di kawasan luar bandar atau pedalaman.

Di samping, mengadakan kerjasama dengan pihak hospital yang mempunyai peralatan pemeriksaan mamogram secara mobil atau secara bergerak kepada wanita-wanita ini.

"Dengan kata lain, wanita di luar bandar tidak perlu lagi membuat pemeriksaan mamogram di bandar Kuala Terengganu dengan adanya kaedah mobil ini.

"Semoga dengan usaha secara menyeluruh ini, diharapkan mampu mengurangkan statistik pesakit kanser payu dara di negara kita dan negeri ini khususnya," ujarnya.


Tag: