• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Perikatan Nasional Masih Kerajaan Sah

SETIU, 10 Januari - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih sebuah kerajaan yang sah dan tidak tergugat dengan penarikan sokongan Ahli Parlimen Machang, Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, dengan majoriti 110 sokongan ia membolehkan kerajaan terus berfungsi seperti biasa.

“Kerajaan yang ada sekarang ini adalah kerajaan yang ‘valid’ (sah), mempunyai bilangan yang cukup dan yang penting bagi kita adalah kerajaan yang berfungsi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu yang baharu di Sungai Tarom di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.

Dalam laporan media sebelum ini Ahmad Jazlan berkata, keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut dibuat tanpa desakan daripada mana-mana pihak.

Menurutnya, tindakan berkenaan dilakukan atas dasar memperjuangkan prinsip parti serta maruah Barisan Nasional (BN) dan bukannya kepentingan peribadi.
 


Tag: