KUALA TERENGGANU, 12 November – Komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat Terengganu menikmati limpahan hasil kekayaan negeri bukan sekadar janji di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan prinsip keempat Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) yang menegaskan konsep 'Kekayaan dan Hasil Tempatan Adalah Untuk Rakyat Terengganu'.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pelaksanaan prinsip itu memberi tumpuan kepada penglibatan aktif rakyat dalam sektor utama seperti minyak dan gas serta industri galian termasuk unsur nadir bumi (REE).
"Bagi sektor minyak dan gas, kerajaan negeri bekerjasama dengan PETRONAS dan agensi pembangunan usahawan bagi memperkukuh peranan usahawan tempatan melalui program Anak Terengganu Certificate (ATC).
"Setakat ini, sebanyak 120 daripada 136 permohonan ATC telah diluluskan, membolehkan lebih ramai usahawan tempatan mendapat keutamaan dalam projek kendalian PETRONAS, selain peluang kontrak, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir.Saiful Azmi Suhaili dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya lagi, dalam masa sama, bagi industri galian termasuk REE, kerajaan negeri berpendirian untuk memastikan aktiviti pemprosesan pertengahan (midstream) dan hiliran (downstream) dilaksanakan di dalam negeri agar rakyat dapat menikmati faedah ekonomi yang lebih besar.
"Langkah itu bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada rakyat, malah memastikan nilai tambah hasil bumi Terengganu kekal dinikmati oleh penduduk tempatan tanpa bergantung kepada eksport bahan mentah," ujar beliau.
Menurutnya, usaha ini jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri untuk merealisasikan prinsip PITAS 2030 dengan memastikan hasil kekayaan negeri benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Terengganu.