• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Permudah Bayaran Cukai Tertunggak


 
Dr Ahmad Samsuri (kanan) berucap di DUN Terengganu baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Kerajaan memberi kemudahan membayar secara ansuran kepada syarikat dan pemilik premis yang mempunyai tunggakan cukai tinggi mengikut kelulusan yang diberikan dan dengan notis pemberitahuan, sebelum borang 6A (Notis Tuntutan: Tunggakan Sewa) dikeluarkan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan juga mengunjungi syarikat-syarikat yang mempunyai cukai yang tinggi dan lama serta mengadakan perbincangan dengan pemilik supaya menjelaskan cukai tanah.

Katanya, bagi mengurangkan tunggakan cukai tanah, kerajaan mengadakan kutipan luar cukai atau cukai bergerak bagi memudahkan urusan orang ramai membuat bayaran.

"Pelbagai insentif juga diberikan bagi menarik orang ramai melunaskan tunggakan," jelas beliau.

Dr Ahmad Samsuri berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke 14 di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.

Tengku Zaihan dalam soalannya ingin tahu mengenai usaha kerajaan untuk meningkatkan hasil dan pendapatan Negeri Terengganu.

Dr. Ahmad  Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, kerajaan negeri telah melakukan pelbagai usaha dalam meningkatkan pendapatan Negeri Terengganu termasuk penguatkuasaan kutipan Tunggakan Hasil Kerajaan Negeri.

"Ini termasuk menggesa agensi untuk membuat bayaran balik pinjaman secara konsisten di samping memberi peringatan kepada agensi untuk berbuat demikian.

"Kerajaan juga mengkaji semula kadar fee urusniaga tanah. Pejabat Pengarah Tanah dan Galian dalam cadangan mengemukakan kadar baharu bagi urusniaga tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri," ujarnya.

Di samping itu katanya, pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) telah menyiapkan Enakmen Sumber Air Negeri Terengganu yang baharu bagi menggantikan Enakmen Bekalan Air Negeri Terengganu tahun 1998 yang sedia ada dan ianya sedang disemak oleh agensi teknikal berkaitan termasuk Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu.

Kerajaan juga katanya, mengenakan Caj atau Cukai Pelancongan di hotel-hotel Negeri Terengganu.

Tag: