• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Sedia RM8 Juta Hadapi Banjir Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Sebanyak RM8 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menghadapi banjir tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM4.5 juta telah disalurkan ke seluruh negara setakat ini.

"RM500 ribu juga telah disalurkan kepada Terengganu menerusi JKM negeri bagi membantu pengurusan banjir kali ini.

"Peruntukan bantuan bencana ini merangkumi pengurusan banjir, pengurusan PPS, penyediaan depo bencana dan sebagainya.

"Saya juga berpuas hati dengan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam proses penyediaan PPS di sini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika sidang media ketika meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat dan Pengarah JKM negeri, Mazura Ngah.

Selain negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak turut menerima jumlah peruntukan yang sama.

Manakala, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur menerima RM100 ribu.

Sebanyak RM30 ribu pula disalurkan kepada Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Negeri Melaka menerima RM150 ribu dan RM50 ribu lagi disalurkan kepada Pulau Pinang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: