KUALA TERENGGANU, 4 Disember - Kerajaan Negeri telah memulakan tindakan perundangan tegas berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan yang berlarutan dengan menyerahkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) [Akta 828] kepada kesemua enam Ahli Lembaga Pengarah (BOD) FGV Holdings Berhad (FGV), semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim, mengesahkan tindakan tersebut dan menegaskan bahawa mengikut Akta Syarikat, semua Ahli Lembaga Pengarah memikul tanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan oleh syarikat.
"Notis amaran tersebut diserahkan melalui kaedah AR Register dan e-mel menandakan permulaan fasa tindakan penuh selepas tempoh rundingan yang panjang gagal mencapai sebarang penyelesaian," katanya.
Menurut notis amaran tersebut, pihak yang didapati bersalah menceroboh tanah Kerajaan tanpa kebenaran sah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Jelas beliau, notis itu juga menggariskan dua tuntutan utama iaitu pihak terlibat dikehendaki mengosongkan atau merobohkan struktur binaan di atas tanah kerajaan tersebut.
Katanya lagi, selain itu, tindakan ini perlu diselesaikan dalam tempoh tiga hari dari tarikh notis dikeluarkan. Jika gagal berbuat demikian, Pentadbir Tanah akan mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 KTN.
Dr. Azman sebelum ini dilaporkan menyatakan bahawa kegagalan FGV memberi maklum balas atau menyatakan penyelesaian dalam tempoh rundingan yang diberikan termasuklah tempoh 40 hari yang dipersetujui bersama, telah memaksa kerajaan negeri untuk bergerak ke fasa tindakan undang-undang.
Tambahnya, selain notis amaran ini, Kerajaan Negeri Terengganu turut merancang tiga tindakan serentak yang bakal dihadapi oleh FGV selepas tempoh remedi tamat.
"Proses sitaan aset-aset di atas tanah yang diceroboh akan menjadi milik Pihak Berkuasa Negeri. Selain itu, tindakan kompaun kerana menceroboh tanah kerajaan dan tuntutan saman sivil bagi menuntut kerugian negeri yang dianggarkan berlarutan lebih 40 tahun," ujarnya.
Kerajaan negeri turut menegaskan bahawa tindakan ini adalah prosedur jenayah di bawah Kanun Tanah Negara dan bukan sekadar kesalahan sivil.