• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Siap Siaga Jika Berlaku Banjir Ketika SPM

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Kerajaan negeri bersiap siaga dengan membuat pelbagai persediaan berkaitan banjir bagi memastikan kelancaran pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata SPM pada tahun ini dijangka pada bulan Januari 2024.

Katanya, terdapat jangkaan beberapa buah sekolah yang mungkin terjejas banjir.

"Namun, kita mendoakan supaya banjir tidak berlaku pada hari berkenaan kerana sangat mengganggu persiapan terutama para pelajar.

"Apapun kita akan buat persiapan yang sebaik mungkin bagi menghadapi banjir di negeri ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas Menyempurnakan Perasmian Pesta Buku @PPAT 2023 bertempat di Dewan Teater Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Ridzuan Hashim dan Pengarah PPAT, Norliza Ismail.

Turut berlangsung pada majlis berkenaan pelancaran Buku Ulama Terengganu Suatu Sorotan Edisi Baharu.

Tambah Satiful, berdasarkan pengalaman lepas, kerajaan negeri akan melaksanakan persiapan dengan lebih terperinci lagi.

Untuk rekod pada tahun 2022, seramai 319 calon SPM yang terjejas banjir di Terengganu dipindahkan ke sekolah lain yang sesuai untuk memastikan mereka dapat mengambil peperiksaan itu dengan lancar.

Sebanyak dua daerah terlibat iaitu tiga Sekolah di daerah Hulu Terengganu dan sebuah lagi di Kemaman.