• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Terengganu Bantu Nelayan Miliki Lesen

KUALA TERENGGANU, 4 April - Menyedari kepentingan Nelayan Sampan Zon A memiliki lesen, kerajaan Negeri Terengganu mengangkat permohonan  kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, bagi pihak nelayan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim  berkata diantara isu utama masyarakat nelayan yang berjaya pihaknya selesaikan ialah masalah ketiadaan lesen. 

"Ada implikasinya jikalau tiada lesen... seperti mana orang membawa kereta tiada lesen. Mereka pergi ke laut mencari rezeki dalam keadaan ketakutan, mereka tidak layak menerima elaun sara hidup nelayan dan subsidi minyak. 

"Jikalau berlaku apa-apa bencana di laut, mereka dinafikan daripada sebarang bantuan dan pertolongan," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian ketika ditemu bual di dalam rancangan Aspirasi YB yang disiarkan secara langsung menerusi Lubna TV baru-baru ini. 

Menurutnya, hasil siasatan (kaji selidik), terdapat 800 orang senarai Nelayan Sampan Zon A yang ketiadaan lesen.

" Alhamdulillah, untuk peringkat pertama, 650 daripada 800 orang diluluskan dalam masa setahun, ” ujarnya. 

Tambahnya lagi, sektor pertanian di negeri ini telah menyediakan 'blueprint' dan dinamakan sebagai ‘Pelan Strategik Pertanian Negeri 2019-2023’ yang merupakan pelan perancangan jangka panjang lima tahun. 

"Dimana perangkaannya melibatkan semua pihak dari tenaga akademik, universiti, jabatan berkaitan sektor pertanian sehingga kepada penggiat-penggiat yang kebiasaannya, pembuatan pelan ini melibatkan konsultan berbayar tetapi akhirnya ia menghasilkan pelan yang tidak berpijak di bumi nyata, " jelasnya dengan nada kecewa. 

Katanya, Skim Bantuan Modal Tani itu yang merupakan skim bantuan dana patuh syariah tanpa faedah.

"Sasaran kami adalah terutamanya anak muda yang ingin berusaha, mempunyai semangat, dan kesungguhan. Kemahiran boleh diajar, tapak mungkin ada tetapi tersekat pada dana. 

"Maka kami sediakan dana, dengan syarat mereka berusaha sahaja. Kita cuba menetapkan agenda untuk merakyatkan agenda pertanian. Kita tak nak satu agenda berada di lokasi tertentu sahaja. 

"Biar agenda pertanian ini meliputi semua negeri. Daripada Kemaman sampai ke Besut. Dari dalam laut  ke atas bukit. Kerana ini merupakan sektor besar yang perlu dilibatkan semua kelompok rakyat,” terangnya.


Tag: