SETIU, 18 November – Setelah terbengkalai sejak 2009, Kerajaan Negeri Terengganu kini mengambil langkah drastik untuk memulihkan sepenuhnya Skim Pengairan Jelapang Langkap Setiu seluas 735 hektar, satu projek yang menelan kos kira-kira RM47 juta namun sebahagian besarnya terbiar tidak bertanam selama bertahun-tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, mendedahkan cabaran besar yang dihadapi dalam usaha menghijaukan semula kawasan yang berpotensi menjadi jelapang padi negeri itu.
Menurut beliau, projek yang dimulakan oleh pentadbiran terdahulu berdepan dengan pelbagai isu teknikal dan warisan kecuaian kontraktor lama.
“Walaupun cabarannya besar, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah penyelesaian. Isu utama ialah tak cukup air kerana paras longkang saliran yang dibina tak dilakukan proses level dengan baik,” katanya.
Dr Azman menambah, keadaan ini menyebabkan ada tempat air melimpah tetapi pada masa sama, ada kawasan longkang yang kering kontang, sekali gus menyukarkan pengairan padi.
“Isu kedua yang memerlukan kos pembersihan semula yang besar ialah penemuan sisa kayu-kayan yang ditanam dalam tanah semasa proses pembersihan tanah awal projek.
Ujarnya, meskipun berdepan halangan yang getir, Kerajaan Negeri bersyukur kerana usaha pemulihan sedang menampakkan hasil positif.
Katanya, pemulihan ini dilaksanakan secara berperingkat melalui kerjasama strategik antara Anak Syarikat Kerajaan Negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dengan sebuah syarikat tempatan, Qudsi Global.
“Kita bersyukur kerana secara berperingkat, sebuah syarikat tempatan Qudsi Global yang bekerjasama dengan TADC telah berjaya memulihkan seterusnya menghijaukan sawah padi terbiar ini peringkat demi peringkat,” katanya.
Tambah beliau, pemulihan Skim Pengairan Jelapang Langkap Setiu ini adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Terengganu untuk meningkatkan keterjaminan makanan negeri dan menjadikan Setiu sebagai salah satu gedung pengeluar makanan utama negara.
“Sawah padi Kampung Jelapang Setiu yang sebelum ini terbiar kini secara berperingkat telah dimajukan dengan tanaman padi,
“Setiap peluang yang ada perlu dimanfaatkan. Apa yang terbiar mesti diusahakan. Inilah antara fokus utama dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030,” jelasnya.