• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Kerajaan Terengganu Komited Sifarkan Keciciran Pelajar Ke IPT

KUALA TERENGGANU, 25 September - Yayasan Terengganu melancarkan Program Karnival Pelajar Terengganu Sifar Keciciran Ke IPT 2023 bagi memastikan pelajar-pelajar di Terengganu dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa sebarang halangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, penganjuran program itu adalah hasil daripada kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Yayasan Terengganu (YT) yang memberi sokongan yang padu bagi memastikan lebih ramai pelajar di negeri ini dapat mengejar pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Ia sekaligus memberi faedah serta termasuklah penambahan tawaran dan insentif yang akan memberi kelebihan dan manfaat kepada pelajar-pelajar dalam usaha menarik minat mereka.

"InsyaAllah kita akan memastikan promosi serta akses berkaitan peluang melanjutkan pengajian dapat disebarkan secara lebih berkesan kepada seluruh rakyat Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Karnival Pelajar Terengganu Sifar Keciciran Ke IPT 2023 di tingkat 2 Kuala Terengganu City Centre Mall, semalam.

Menurut beliau, pendidikan serta kemahiran berkualiti adalah tunjang utama dalam melahirkan pemimpin berwibawa dan menjamin kestabilan sosioekonomi dan ia adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang lestari malah menjadi elemen terpenting dalam agenda pembangunan negeri.

"Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menitikberatkan pembangunan modal insan berkualiti selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) yang memastikan dapat  melahirkan golongan profesional dan teknokrat yang kini menjadi tenaga penggerak utama dalam pelaksanaan pelbagai rancangan pembangunan negeri.

"Besar harapan agar kita dapat mencapai matlamat tersebut dan teruskan memberi dorongan kepada pelajar-pelajar Terengganu untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran mereka serta menyumbang kepada kemajuan negeri kita, ujarnya lagi.


Tag: