HULU TERENGGANU, 10 Jun – Kerajaan Terengganu akan menanggung sepenuhnya kos pembedahan mangsa tragedi Gerik, Wan Nor Masyitah Wan Hussin yang mengalami kecederaan serius dalam kemalangan ngeri terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), Pendidikan Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dilaporkan mengalami patah paha, retak tulang pinggul dan tulang belakang.
Kata beliau, Wan Nor Masyitah kini sedang menunggu masa untuk menjalani pembedahan yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM27,000.
"Kerajaan negeri melalui Tabung Darul Iman telah memberi jaminan rasmi bahawa kos pembedahan pelajar berkenaan akan ditanggung sepenuhnya.
"Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) telah berhubung terus dengan Hospital Taiping yang kini merawat pelajar ini dan memberi komitmen bahawa kos rawatan termasuk pembedahan akan ditanggung oleh kerajaan negeri," katanya hari ini.
Tambah Maliaman, imbasan CT (CT Scan) telah dilakukan oleh pihak Hospital Taiping dan prosedur pembedahan akan dijalankan secepat mungkin.
"Namun ia bergantung kepada tahap kesihatan semasa pelajar tersebut.
"Kita harap ibu bapa tidak bimbang dari segi kos. Insya-Allah kerajaan negeri akan tanggung sepenuhnya seperti yang telah dimaklumkan," ujar beliau.
Wan Nor Masyitah merupakan salah seorang daripada enam Exco Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA) yang terlibat dalam tragedi tersebut.
Maliaman turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan terus memberi perhatian serius terhadap semua pelajar yang terlibat dalam insiden tersebut.
"Mana-mana pelajar yang cedera dan memerlukan rawatan lanjut termasuk pembedahan, akan dinilai dari semasa ke semasa.
"Kes-kes yang serius akan diberi keutamaan dan tindakan pantas akan diambil," katanya.