• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerja Awal Bagi Mewujudkan IPT Islam Terengganu Sedang Berjalan

KUALA TERENGGANU, 8 September – Kerajaan negeri sedang giat melaksanakan kerja-kerja awal bagi merealisasikan hasrat untuk mewujudkan institusi pengajian tinggi agama di negeri ini seperti Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KuSZA) sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju (MMKN) untuk mengangkat Kolej Al-Quran Terengganu sebagai ‘feeder’ untuk dijadikan sebuah institusi baharu sebagaimana yang dijanjikan di dalam manifesto.

"Daripada keputusan MMKN juga, lokasi akan terletak di daerah Dungun, berdekatan dengan Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu seluas kira-kira 300 ekar untuk pembangunan.

"Kerajaan negeri melalui sidang bajet telah meluluskan bajet RM6 juta untuk kerja awal ini," katanya

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Hafl El-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM 2019 Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Tahun 2020 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini semalam.

Untuk rekod, KuSZA merupakan sebuah institusi pengajian tinggi Islam milik kerajaan negeri yang berprestij.

Ia telah dibubarkan pada 2006 bagi memberi laluan ke arah kewujudan Universiti Darul Iman yang kemudiannya dinamakan sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin. 

Terengganu merupakan negeri terawal yang mempunyai institusi seperti KuSZA yang berperanan sebagai hab pendidikan Islam antarabangsa di negeri ini.


Tag: