• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Kerjasama Guru, Komuniti & Ibu Bapa Penentu Kemajuan Pelajar

Ustaz Maliaman Kassim (berbaju kuning) bergotong-royong bersama dengan masyarakat setempat.
Oleh: Khairuddin Yusoff 

HULU TERENGGANU, 21 Julai - Semua pihak termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ibu bapa dan guru memainkan peranan penting dalam membina aspek kemenjadian pelajar seterusnya memajukan sekolah di kawasan setempat.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata, penglibatan ini dapat dijayakan melalui aktiviti-aktiviti yang disusun bersama supaya dapat mewujudkan satu perubahan positif kepada pelajar dan juga sekolah.

"Pertama sekali saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak sekolah kerana berjaya mencetuskan kerjasama di antara MPKK, guru-guru dan ibu bapa untuk membersihkan kawasan sekitar sekolah ini.

"Melalui kerjasama ini, insya-Allah akan dapat mewujudkan satu jalinan untuk kemajuan sekolah dari segi pembangunan fizikal, akademik dan juga sahsiah pelajar.

"Jadi dengan penglibatan ibu bapa sudah tentulah memberi contoh dan semangat kepada anak-anak supaya menjaga kebersihan seterusnya menjadi 'turning point' kepada kemajuan sekolah," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program gotong royong perdana anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Diman dengan kerjasama komuniti serta MPKK berhampiran, semalam.

Tambah Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, melalui kerjasama seumpama itu, ia bukan sahaja dapat mengubah landskap sekolah menjadi lebih ceria malah meringankan beban guru untuk melaksanakan aktiviti sekolah.

"Kadang kala guru terbeban dengan kelas dan pelbagai aktiviti lain, jadi kita boleh bekerjasama dan mengambil peranan masing-masing dalam menjalankan aktiviti pembersihan dan mengubah landskap supaya lebih menarik," jelasnya.

Sementara itu, Pengetua SMK Bukit Diman, Zainon Jusoh berkata, kehadiran ibu bapa sangat mengalakkan dan beliau mengharapkan penglibatan yang lebih ramai pada masa akan datang.

“Kita buat gotong-royong hari ini pertamanya kita mahu bersihkan ladang sawit dan menambah keceriaan sekolah.

“Guru perempuan kita tempatkan di kawasan sekolah untuk keceriaan manakala ibu bapa dan MPKK yang hadir ditugaskan untuk membantu membersihkan ladang.


“ Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Ustaz Maliaman kerana mengerakkan dan menjadi pencetus kepada gerakan untuk gotong-royong hari ini bersama pihak sekolah, ibu bapa dan juga MPKK.

“Ini kali pertama kita buat dan kita akan teruskan lagi selepas ini dengan penglibatan ibu bapa yang lebih ramai," ujarnya.

Program tersebut melibatkan 9 buah MPKK yang berhampiran dengan sekolah iaitu MPKK Kampung Jabor, Kampung Bukit Diman, Kampung Lerek, Kampung Durian Kassim, Kampung Pela, Kampung Peroh, Kampung Bukit Mok Mek, Felda Bukit Bading Satu dan Dua serta Bomba Sukarelawan Bukit Bading yang turut hadir membantu.

Tag: