Kerjasama MPTN Terengganu Perkukuh Pemeliharaan Biodiversiti

KUALA TERENGGANU, 17 April - Kerajaan Negeri melalui Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) Terengganu sentiasa bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam pemeliharaan biodiversiti di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, antaranya melalui penganjuran Seminar Biodiversiti Terengganu 2024 yang telah diadakan pada 6 November 2024di Dewan Besar, Wisma Darul Iman yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Terengganu.

“Penganjuran seminar berkenaan menarik penyertaan kira-kira 300 orang daripada pelbagai latarbelakang termasuk dari sektor awam, akademik, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti tempatan, masyarakat Orang Asli dan mahasiswa.

“Ia bertujuan untuk memupuk kesedaran pelbagai pihak di dalam pentingnya melindungi biodiversiti yang disampaikan melalui perkongsian daripada agenda kebangsaan dalam pemeliharaan biodiversiti, kajian dan usaha konservasi serta perbincangan berkaitan isu-isu ancaman terhadap biodiversiti,” ujarnya ketika sesi soalan lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkenaan adakah kerajaan negeri bekerjasama dengan NGO atau institusi pengajian tinggi dalam kajian dan pemeliharaan biodiversiti.

Sementara itu katanya, seiring dengan hasrat melindungi kepelbagaian biologi negeri, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk mewartakan Pulau Bidong yang berkeluasan 231.3 hektar merangkumi 1 batu nautika daripada tikas air surut sebagai sebuah Taman Negeri.

“Ia diletakkan di bawah urus tadbir MPTN Terengganu yang mana urusan pewartaan akan diselaraskan dalam masa terdekat ini,” ujarnya.