• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kerjasama UMNO-PAS Makin positif


Dato' Hashim Jasin

KUALA TERENGGANU - Kerjasama antara UMNO dengan PAS mulai dilihat bergerak secara positif sejak Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kadis dan Seri Setia baru-baru ini.

  Mursyidul Am PAS, Dato' Tuan Guru Haji Hashim Jasin berkata, PAS harus melihat realiti politik bahawa Malaysia sangat berhajat kepada perpaduan orang Melayu Islam dalam mempertahankan agenda Islam dan maruah bangsa.

"Kita (PAS) sedar sepenuhnya tentang kebobrokan politik yang pernah dilakukan oleh UMNO sepanjang lebih 60 tahun menjadi kerajaan.

  "Tetapi dengan jiwa da'i (pendakwah) yang ada pada kita, kita harus berusaha untuk memperbetulkan kefahaman pemimpin dan ahli UMNO terhadap Islam, dengan cara kita mendekati mereka," katanya ketika merasmi Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat Kali Ke 57 di Hotel Permai di sini 13 September.

  Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir dalam majlis tersebut bersama 1,000 orang perwakilan dan pemerhati.

  Dato' Haji Hashim seterusnya berkata, PAS tidak boleh melihat UMNO dan ahlinya sebagai musuh sebaliknya mereka adalah sasaran dakwah dan perlu dikembalikan mereka ke landasan Islam yang sebenar.

  Menurut beliau menjadi tanggungjawab besar ulama dalam PAS untuk memahamkan ahli-ahli parti itu bahawa persoalan kerjasama dengan UMNO adalah perkara 'Mutaghayyirat' (strategi boleh berubah).

  "Apa yang penting, PAS mesti memainkan peranan untuk menjadi pemimpin dalam agenda perpaduan ini dengan Islam menjadi teras kepada segala bentuk kerjasama dengan al-Quran dan Sunnah menjadi sumber rujukannya," jelas beliau.

Katanya, apapun bentuk kerjasama yang berlaku, PAS mesti memastikan bahawa ia akan memberi keuntungan kepada Islam.

  "PAS tidak boleh bersikap keras dengan lawan politik yang juga beragama Islam, semata-mata kerana rekod kejahilan, pengaruh sekular dalam pemikiran mereka dan juga catatan-catatan amalan korupsi yang pernah mereka lakukan.

  "Inilah medan dakwah yang membawa agenda 'Rahmatan Lil 'Alamin yang sebenar," jelasnya lagi.

  Katanya dalam soal perpaduan dengan UMNO, ia bukanlah perkara 'Thawabit' (perkara dasar, tidak boleh berubah) menyebabkan PAS tidak boleh berganjak langsung dan sanggup membiarkan maslahah ummah terpinggir oleh sentimen politik sempit.

Tag: