• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerosakan Benteng Pemecah Ombak Dalam Perhatian Kerajaan Negeri

KUALA TERENGGANU, 5 Julai- Runtuhan penghadang ombak berhampiran jambatan angkat atau 'drawbridge' di sini yang belum dibaik pulih sepenuhnya berada dalam perhatian kerajaan negeri, ujar Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.

Bagaimanapun Ariffin berkata, ianya memerlukan masa untuk proses pembaikian memandangkan projek berkonsepkan benteng hakisan pantai memerlukan peruntukan yang agak besar.

“Kebimbangan masyarakat terhadap kerosakan benteng pemecah ombak tersebut yang tular di media sosial kerana dikhuatiri membahayakan keselamatan orang ramai termasuk pelancong memang dalam perhatian kita.

“Kerajaan sememangnya melihat perkara ini, ia tidaklah terlalu bahaya cuma menjadi tumpuan apabila ianya tular, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) juga telah mengambil tindakan dengan meletakkan garisan kuning di lokasi terbabit tetapi dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pelaksanaan Program Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif.

Ariffin memaklumkan, menerusi laporan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tidak kurang RM5 juta diperlukan untuk kos baik pulih kerosakan benteng pemecah ombak itu.

“Bila jumlah terlalu besar, kita memerlukan masa untuk baiki dan juga kajian yang lebih terperinci oleh pihak konsultan yang dilantik,” ujarnya.