KUALA TERENGGANU, 21 April - Peningkatan mendadak kes perceraian di Terengganu yang mencecah 3,810 kes pada tahun 2025 berbanding 2,798 kes pada 2024 dan 1,802 kes pada 2023 disifatkan sebagai petanda serius kepada krisis sosial yang semakin meruncing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Nor berkata, angka tersebut merupakan yang tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, sekali gus menuntut perhatian dan tindakan segera semua pihak.
Menurut beliau, statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut menunjukkan Terengganu berada dalam kelompok lapan negeri tertinggi bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025.
“Ini bukan sekadar angka, sebaliknya satu amaran jelas bahawa institusi kekeluargaan sedang berdepan cabaran besar yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Beliau berkata, majoriti kes melibatkan pasangan muda dengan tempoh perkahwinan kurang 10 tahun, berpunca daripada tekanan ekonomi, kegagalan komunikasi dan ketidakstabilan emosi.
Sehubungan itu, katanya, empat intervensi strategik perlu dilaksanakan bagi membendung gejala tersebut daripada terus menular.
Katanya, aspek pertama yang perlu diberi perhatian ialah kestabilan ekonomi isi rumah melalui peluasan peluang pekerjaan dan keusahawanan serta pelaksanaan pendidikan pengurusan kewangan sebelum perkahwinan.
Selain itu, tambah beliau, kursus pra-perkahwinan perlu ditambah baik agar lebih praktikal dan relevan dengan realiti semasa, khususnya dalam membina kemahiran komunikasi dan sahsiah pasangan.
“Campur tangan pihak ketiga, terutama ahli keluarga, juga perlu dikawal kerana ia sering menjadi punca keretakan rumah tangga. Pendidikan kepada ibu bapa serta pemerkasaan peranan suami sebagai ketua keluarga perlu diperkukuh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan keperluan menangani isu sosial seperti penagihan dadah secara lebih bersepadu melalui kerjasama antara agensi dan pelaksanaan intervensi awal.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, perceraian tidak harus dilihat sebagai kegagalan semata-mata, sebaliknya jalan terakhir yang dibenarkan apabila perkahwinan tidak lagi dapat dipertahankan, khususnya jika melibatkan kemudaratan.
Katanya, sebanyak 296 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Terengganu pada tahun 2025 dengan antara punca utama ialah konflik berpanjangan dan pengaruh dadah.
“Terdapat keadaan di mana berpisah adalah lebih baik daripada terus hidup dalam penderitaan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, pendekatan pencegahan perlu diberi keutamaan berbanding rawatan bagi memastikan institusi keluarga terus kukuh.
“Jika kita gagal bertindak sekarang, kita bukan sahaja kehilangan sebuah perkahwinan, malah sedang meruntuhkan asas kekuatan negara,” katanya.
Tag :