• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kesal Tindakan Menteri Kesihatan Khianati Janji Hapuskan Tabiat Merokok

KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Rata-rata Ahli Parlimen menzahirkan perasaan kesal dan kecewa atas tindakan Menteri Kesihatan, Zaliha Mustafa yang tidak menunaikan janji bagi menghapuskakan tabiat merokok dalam kalangan rakyat negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, ia jelas menunjukkan tiada kesungguhan daripada pihak Kerajaan Madani ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (RUU KPDMKA) baru-baru ini hanya mengawal produk merokok.

Ujarnya, Generasi Penamat Rokok (GEG) tidak lagi diperuntukkan dalam RUU tersebut yang telah pun pernah dibahaskan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

"Malah RUU yang hampir sama telah pun dibentangkan oleh Menteri Kesihatan pada 12 Jun 2023 yang lalu, GEG adalah satu dasar yang bertujuan untuk menghapuskan tabiat merokok dan penggunaan Produk Merokok dalam kalangan generasi musa secara beransur-ansur sehingga tahun 2045.

"Lebih mendukacitakan saya dan persatuan-persatuan berkepentingan jelas melihat Menteri Kesihatan tidak jujur apabila membuat kenyataan menangguhkan bacaan kedua yang sepatutnya dibacakan pada hari kedua dalam sidang Dewan Rakyat pada kali ini.

"Dengan alasan memberikan laluan aturan mesyuarat lain di dalam senarai aturan mesyuarat, walhal memang sudah ada perancangan untuk menggugurkan GEG daripada RUU KPMDKA ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, semalam.

Tegas Dr Alias, sikap ditunjukkan Menteri Kesihatan itu jelas tidak konsisten serta tidak bertanggungjawab.

"Saya mengecam tindakan ini kerana telah mengkhianati janji dan komitmen beliau untuk melaksanakan GEG dalam RUU KPTM (Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok) yang telah pun dibentangkan dalam parlimen pada 6 Oktober yang lalu.

"Dengan pengguguran GEG ini maka sasaran untuk mengurangkan jumlah perokok sehingga kurang daripada lima peratus menjelang tahun 2045, pada pendapat saya adalah sukar untuk dicapai," katanya.

Tambah beliau, GEG adalah wajar untuk diteruskan kerana ia lebih berhemah, berkesan dan mendasari kesihatan rakyat berbanding KPMDKA yang tidak meletakkan had generasi umur bagi individu yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2027.

"Kerana ia menekankan pendidikan, kesedaran, sokongan dan pencegahan bagi mengurangkan permintaan dan penawaran Produk Merokok dalam kalangan generasi muda.

'Pada pendapat saya GEG tidak menjejaskan hak dan kebebasan individu untuk membuat pilihan sendiri berkenaan dengan penggunaan produk tembakau," tegas beliau.