• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

MARANG, 11 Oktober - Saban tahun ketam nipah  semakin berkurangan namun permintaan terhadap hidupan sungai itu bertambah.

Keadaan itu mendatangkan kerisauan beberapa nelayan darat di daerah ini berikutan sumber pendapatan mereka semakin sukar dicari.

Nelayan darat, Muhammad Tajuddin Othman, 29, berkata, sejak lima hingga enam tahun lepas ketam nipah semakin payah dicari sedangkan permintaan semakin hari bertambah  20 kilogram (kg) sehingga 30 kg sehari.

"Sekali keluar menggunakan umpan bento ketam yang memerlukan modal RM 40 sehari untuk minyak, umpan, serta lain-lain, manakala jika keluar berdua terpaksa pula bahagikan hasil rezeki tersebut, "katanya menjadikan pencarian sumber sungai itu sebagai pendapatan utama

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Mohd Khairul Nizam Roslam berkata, pihaknya telah merujuk pihak Pejabat ADUN Rhu Rendang dan pihak Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.

"Antara inisiatif awal yang dicadangkan adalah mengusahakan pemberian 50 biji bento ketam kepada pihak nelayan dan salah satu kaedah lagi untuk meningkatkan pengeluaran hasil ketam nipah ini adalah melalui pembenihan ketam nipah di kawasan sungai yang sesuai di sini,"katanya

Menurutnya lagi, jika dibandingkan 10 tahun dahulu, tangkapan ketam nipah mencapai 10 hingga 15 kg sehari, kini ianya terjejas teruk sehinggakan dalam masa seminggu ada yang hanya dapat dua sehingga tiga kg seorang.

"Ini agak merugikan bagi nelayan darat dalam faktor hasil itu dicari dengan banyak, tetapi tidak dapat menawarkan hasil mengikut permintaan tersebut, tambahnya lagi.

 


Tag: