• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menzahirkan rasa terima kasih kepada pengamal media di negeri Terengganu atas usaha mengetengahkan pelbagai isu-isu masyarakat dalam usaha membantu meringankan beban yang ditanggung pada pasca pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, media juga merupakan barisan hadapan yang berusaha dalam memerangi Covid-19 di negara kita.

"KETENGAH sangat menghargai sumbangan 'frontliner', tidak terkecuali wartawan. Para pengamal media terdedah dengan risiko jangkitan pandemik kerana mereka berjumpa dengan pelbagai individu di berbagai tempat dalam usaha menjalankan tugas, maka mereka juga dianggap barisan hadapan yang patut dihargai.

"Saya menganggap mereka (pengamal media) sebagai penyedar kepada pimpinan yang culas mengambil tahu apa yang berlaku dalam kawasan masing-masing," katanya ketika ditemui di pejabat KETENGAH Holding, di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, KETENGAH menyampaikan saguhati kepada pemberita yang hadir sebagai penghargaan kepada penat lelah mereka.

Razali turut menyarankan, para pengamal media harus diberi keutamaan mengambil vaksin bagi mengelakkan penularan dikalangan mereka. 

Jelasnya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) perlu mengambil maklum bahawa ada lagi sebahagian pengamal media di negeri itu belum menerima vaksinasi.