• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Ketua Pemuda PAS ‘Sekolahkan’ Ketua Pemuda Umno

KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Terengganu berhubung laporan prestasi kerajaan negeri yang disifatkan tak tepat.

Mohd Harun berkata, Tengku Haphiz Tengku Putera seolah-olah tidak membaca dengan betul data yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) sehingga menyebabkan beliau ‘tersalah tulis’.

“Sebelum tu, saya rasa hairan sebenarnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam posting beliau menyenaraikan empat perkara. Tapi kenapa perkara keempat sahaja yang YM Tengku respon.
 
“Kalau YM Tengku betul-betul buka dan baca ‘Laporan Prestasi Tahunan Malaysia’ atau yang diterbitkan MIDA dari tahun 2013 hingga 2022, YM Tengku akan temui daripada mana datangnya angka RM11.59 bilion (2018-2022) dan RM5.34 bilion (2013-2017),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Harun, Ketua Pemuda UMNO Terengganu itu mungkin sibuk membuat persiapan sebagai bakal calon pilihan raya negeri sehingga tidak sempat menyemak dengan teliti.

“Tapi tak apalah, saya tolong nyatakan siap-siap. Pada 2013 pelaburan berjumlah RM0.18 bilion, 2014 (RM1.57 bilion), 2015 (RM1.40 bilion), 2016 (RM2.11 bilion), 2017 (RM0.07 bilion), jumlahnya RM5.34 bilion.

“Kemudian pada 2018 (RM4.90 bilion), 2019 (RM0.64 bilion), 2020 (RM1.91 bilion), 2021 (RM3.83 bilion), 2022 (RM0.31 bilion), boleh rujuk muka surat 133,139, 143, 145 dan 155 dalam laporan itu,  jumlah keseluruhan RM11.59 bilion.

“Data ini ialah nilai pelaburan bagi ‘Projek Perkilangan yang Diluluskan’ atau ‘Approved Manufacturing Projects’,” jelasnya.
 
Tegas Mohd Harun, sangkaan melulu Tengku Haphiz bahawa PAS Terengganu nak mengatakan laporan MIDA itu palsu atau sabotaj sangat tidak betul.

“YB Batu Buruk memang merujuk kepada laporan rasmi yang diterbitkan oleh MIDA. Padahal yang YM Tengku rujuk tu bukanlah ‘Laporan’ sebaliknya adalah ‘Pengumuman/Siaran Media’.

“Sepatutnya YM Tengku rujuklah laporan yang sebenar. Untuk mudahkan YM Tengku, ini linknya : https://www.mida.gov.my/report/. Tapi kalau YM Tengku rasa berat nak baca laporan tebal-tebal ni, Pemuda PAS Terengganu sedia hantar wakil berjumpa YM Tengku untuk bantu YM Tengku baca dan fahami laporan-laporan ni.

“Lepas tu, kalau YM Tengku nak buat perbandingan, buatlah secara adil. Janganlah banding prestasi 10 tahun (2007-2016) dengan prestasi lima tahun.  Kaedah perbandingan sebegitu tak betul dan buruk sekali rupanya,” ujarnya.

Mohd Harun turut berkata, data pelaburan yang diterbitkan oleh ECERDC dan MIDA ada perbezaannya. 

“Masing-masing ada definisi, klasifikasi yang berbeza. Jadi, jangan campur aduk. Jangan hentam data MIDA atas data ECERDC dan sebaliknya,” tambah beliau.

Terdahulu, Tengku Haphiz menafikan pelaburan projek perkilangan di era kerajaan PAS Terengganu lebih tinggi berbanding tahun 2013-2017.


Tag: