• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Keunikan Replika Bot Dengan Alat Kawalan Jauh

KUALA TERENGGANU, 16 Jun- Pemuda ini tidak mempelajari kaedah khusus untuk membuat bot, sebaliknya memperoleh kepakaran melalui pemerhatian bagi menghasilkan pengangkutan air itu dalam saiz mini.

Apa yang menarik, replika bot nelayan yang dibuat Mohd Asrol Gulam Mohd, 36, mempunyai alat kawalan jauh yang mampu berfungsi di dalam air seperti bot nelayan sebenar.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Surau Panjang di sini, Mohd Asrol berkata, dibesarkan sebagai anak nelayan membuatkan dirinya sudah sebati dengan bot-bot nelayan.

“Sebab minat tengok model bot nelayan yang digunakan untuk menangkap ikan dan selalu tengok abang-abang buat bot masa kecil, saya pun ikut sama buat secara suka-suka dan tidak sangka ianya berhasil,” ujarnya yang serius membuat replika bot nelayan sejak berusia belasan tahun lagi.

Katanya, bot nelayan itu dibuat sebagai replika untuk hiasan pada awalnya sebelum mendapat idea untuk menjadikan ia bot nelayan kawalan jauh.

"Pembuatan bot ini memerlukan penelitian yang tinggi kerana kita mahu memastikan ia dapat terapung di permukaan air dan bergerak dengan baik tanpa sebarang masalah.

"Kos membuat bot nelayan kawalan jauh ini pula tidak terlalu besar, tetapi memandangkan ia sukar dibuat selain dilengkapi enjin dan alat kawalan jauh, ia dijual pada harga RM3,500," katanya yang bekerja sebagai mekanik.

Mohd Asrul mengakui, pembuatan bot nelayan kawalan jauh itu mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan kerana ia rumit dan perlu dibuat dengan penuh ketelitian.

“Nak buat bot nie perlu sabar, tenang, biasanya kalau tumpu betul-betul dalam sebulan dapat siapkan sebiji bot,” ujar bapa kepada tiga anak itu yang ‘menghadiahkan’ sebuah bot buat permata hati setiap kali kelahiran anaknya.