• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kewujudan Ma'daerah Mampu Tambah Populasi Penyu

KEMAMAN, 16 Jun - Kerajaaan Negeri Terengganu berharap dengan adanya usaha yang berterusan dijalankan di Santuari Penyu Ma’Daerah (Ma’Daerah) ini akan mempertingkatkan lagi peningkatan pendaratan penyu di Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata pada tahun lepas sahaja, 2021, Jabatan Perikanan telah melepaskan sebanyak 432,000 ekor anak penyu kembali ke lautan.

"Mengikut statistik, dalam 1000 ekor yang kita lepaskan biasanya seekor akan kekal hidup dan kembali semula ke daratan dimana ia dilepaskan.

"Kita harap paling kurang 400 ekor anak penyu akan hidup sehingga dewasa, matang dan kembali semula untuk bertelur di pantai dimana ia dilepaskan.

“Setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan lebih daripada RM600,000 untuk kerja-kerja pengurusan penyu, menaiktaraf pusat-pusat konversi penyu, bayar upah pekerja-pekerja dan termasuklah pembelian semula telur-telur penyu daripada pemajak bagi tujuan untuk ditetaskan.

“Dan sebagaima kita sedia maklum, bermula daripada 1 Jun baru-baru ini, dimulakan penguatkuasaan enakmen pemeliharaan penyu Enakmen Penyu 1951 mulai 1 Jun 2022, mengharamkan penjualan telur penyu.

"Jadi tidak ada lagi telur penyu yang dijual secara terbuka selepas daripada pelaksanaan enakmen ini kerana sudah ada peraturan.

"Alhamdulillah, nampaknya tinjauan yang dilakukan di lokasi-lokasi telur penyu di jual, tidak ada lagi penjualan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita dalam Program Terengganu Turtle Camp 2022 hari ini.

 

Jabatan Perikanan mengenalpasti punca kematian penyu adalah ombak besar, pelanggaran kipas bot, musim tengkujuh dan terperangkap dalam pukat tunda.

Mengikut rekod, laporan kematian penyu melebihi angka 40 ekor sejak Januari lalu melahirkan kebimbangan pihaknya dalam mengekang perkara tersebut.