• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Khairunnisa' Sumbang RM2,000 Setiap DUN, Bantu Mangsa Banjir

MARANG, 14 Mac - Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') bergerak aktif dalam menyumbang bantuan kepada mangsa banjir di mana setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan sebanyak RM2,000.

Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, setiap DUN terdiri daripada 20 orang penerima yang terlibat dalam bencana dan musibah banjir baru-baru ini, juga merupakan mereka yang kurang berkemampuan.

Bantuan ini adalah usaha Khairunnisa' untuk membantu penduduk di seluruh negeri Terengganu khususnya tempat yang terjejas teruk di samping bantuan daripada agensi terlibat.

Beliau berkata ketika hadir menyerahkan bantuan tersebut kepada beberapa orang penduduk kampung di sekitar DUN Rhu Rendang baru-baru ini.

Turut hadir adalah petugas Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Rhu Muda, Kijing, Rhu Dua dan Rusila.

"Sebenarnya bantuan ini telah bermula lama dulu, tetapi ada beberapa tempat yang menerima bantuan agak lambat kerana kekangan pergerakan akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Alhamdulillah, selepas pergerakan kembali seperti biasa, dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, sumbangan ini dapat diserahkan semula," tambahnya lagi.

Beliau juga sempat menyantuni beberapa orang penduduk yang kurang sihat, sakit kronik dan baru menerima cahaya mata kembar seiras di sini.


Tag: