• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Khidmat Malaysia Siap Siaga Hadapi Banjir

KUALA TERENGGANU, 16 November - Badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Terengganu mengarahkan seluruh jentera dan agensi bersiap siaga menghadapi musim Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 11 November lepas dan dijangka berakhir pada Mac tahun hadapan.

Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya sentiasa berwaspada dengan sebarang pemakluman yang dikeluarkan sebagai langkah persediaan termasuk menyantuni mangsa banjir dan menghulur bantuan, sama ada sumbangan barangan keperluan atau dalam kerja pembersihan.

Beliau berkata, taburan hujan lebat luar biasa berlaku apabila Terengganu mula memasuki peralihan monsun timur laut (MTL) setiap tahun sehingga boleh menyebabkan kawasan rendah terutama yang berada di tepi sungai berisiko dilanda banjir.

Katanya, Khidmat Malaysia Terengganu akan memantau dan berhubung bagi mengetahui keadaan serta keperluan semasa mangsa-mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir.

“Saya juga memberi komitmen yang kami di Terengganu akan membantu untuk proses pasca banjir termasuk membersihkan kediaman dan sebagainya.

“Saya berharap pada tahun ini rakyat sudah bersedia kerana pelbagai ramalan terutamanya daripada Jabatan Meteorologi yang menjangkakan banjir  yang akan berlaku pada bulan November ini sehingga Mac 2024,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu turut menasihatkan agar anggota Khidmat Masyarakat sentiasa berhubung dengan Ketua Jawatankuasa Bencana Daerah sebelum memulakan operasi semasa banjir bagi menjaga keselamatan masing-masing.

Dalam masa sama, pihaknya bersama agensi kerajaan yang lain bersedia untuk memberikan bantuan kepada seluruh rakyat dalam menghadapi risiko banjir ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman nanti.

MetMalaysia dalam satu kenyataan pada 6 November lepas menjangkakan MTL atau musim tengkujuh di Malaysia bermula pada Sabtu (11 Nov) lepas dan berterusan hingga Mac depan, dengan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.