• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Klinik Nur Sejahtera Rintis Khidmat Psikososial Lelaki

DUNGUN, 19 Jun - Klinik Nur Sejahtera (KNS) Dungun menjadi klinik rintis pertama di peringkat negeri yang menawarkan perkhidmatan kesejahteraan dan psikososial khusus bagi kaum lelaki.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun berkata, usaha Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu merupakan tambahan kepada fungsi utama KNS yang sebelum ini lebih kepada kesihatan reproduktif wanita.

"Sempena sambutan Hari Bapa yang disambut hari ini, LPPKN turut menawarkan saringan kesihatan percuma kepada 100 lelaki terawal bagi setiap negeri dan sempena pelancaran ini, kita tawarkan perkhidmatan itu bagi 300 lelaki terawal, khusus bagi penduduk sekitar Dungun bermula hari ini sehingga 25 Jun.

"Untuk pengetahuan semua, daripada kes kaunseling yang dikendalikan LPPKN sejak 2019 sehingga Jun 2022, sejumlah 22,156 klien lelaki telah menghadiri sesi kaunseling secara individu dan berkelompok.

"Paling banyak yang kita terima melibatkan masalah perkahwinan iaitu sebanyak 33 peratus, manakala 20 peratus melibatkan masalah kewangan dan masalah-masalah lain," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, situasi tersebut dinilai positif kerana perkhidmatan yang fleksibel secara tele-kaunseling, individu dan berkelompok yang ditawarkan menjadikan kaum lelaki lebih terbuka untuk berkongsi masalah dan memohon bantuan khdimat nasihat dengan LPPKN.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Bapa peringkat kebangsaan bertemakan 'Kasih Bapa Pelindung Keluarga' di KNS Dungun, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu; Hanafiah Mat, Ketua Setiausaha KPWKM; Dr. Maziah Che Yusoff, Timbalan Pengerusi  LPPKN; Mastura Mohd Darby dan Ketua Pengarah LPPKN; Abdul Shukur Abdullah.

Rina turut memuji tindakan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang mengadakan program 'Second Honeymoon' atau berbulan madu kali kedua yang membantu mengatasi masalah keretakan rumah tangga.

"Berdasarkan maklumat dan kerjasama dari kerajaan Terengganu, kita juga turut mengadakan program berbulan madu kali kedua ini untuk menambah baik hubungan kekeluargaan dan kita ingin perluaskannya melalui LPPKN.

"Melihatkan kepada keperluan kaum lelaki juga, kita harap dapat memperluaskan projek ini ke seluruh 49 KNS di seluruh negara selain kepada 15 klinik secara 'mobile' selepas melihat sambutan projek rintis ini.

"Jadi, kepada kaum lelaki, jangan malu dan segan untuk berkongsi dalam usaha menyelesaikan masalah. Untuk membina keluarga bahagia, ia memerlukan kerjasama seluruh ahli keluarga," katanya.