• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Konsep Bersepadu Pembangunan Tanah Lapang Akan Dirangka

SETIU, 27 Oktober – Satu konsep pembangunan bersepadu akan dirangka bagi memanfaatkan kawasan tanah lapang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi. 

ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, suasana di lokasi itu akan menjadi lebih tersusun apabila penstrukturan dan penempatan lengkap yang disertakan dengan binaan seperti rumah kedai, rumah kediaman dan taman rekreasi.

"Isu perumahan adalah satu isu yang besar, malah kerajaan negeri sangat memandang serius namun apabila kita tidak mampu untuk menyelesaikan semua benda dalam masa yang singkat, langkah perlu laju. 

"Birokrasi pula perlu diminimakan seminima yang mungkin agar dapat memberi khidmat yang paling baik dan cepat kepada rakyat," katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) di perkarangan Surau Gong Berangan di sini baru-baru ini. 

Beliau turut memaklumkan, Projek Rumah Mampu Milik (RMM) di Tempinis sedang giat berjalan dan tanah seluas sekitar sembilan ekar disebelahnya akan turut dibangunkan bagi mengurangkan isu perumahan di DUN Jabi. 

"Secara dasarnya kerajaan sudah bersetuju untuk dijadikan sebagai tapak rumah mampu milik. Kita sudah batalkan semua nama peserta terkilan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) kerana tidak mahu tanah, mereka mahu rumah. 

"Saya sudah bercakap dengan pemaju untuk membuat rumah empat tingkat sebab sebab nak suruh kalau kita sihat naik turun naik tangga dan utamanya ramai boleh mengambil manfaat," jelasnya. 

Tambah beliau, sebanyak lima buah rumah PPTS masing-masing di Kampung Tempinis, Kampung Anak Ikan Dalam, Kampung Gong Pasir, Kampung Gong Dasar serta Kampung Gerong siap dibina mengikut masa ditetapkan.

"Ada dua lagi yang akan dibina di Renek yang terbakar dan yang baru terbakar bebrapa hari lepas di Seri Tanjung. Insya-Allah yang terlibat dalam bencana kita akan uruskan seberapa segera. 

"Kita akan tengok sekiranya keperluan kita untuk baiki rumah sudah semakin kurang kita akan tambah dengan bilangan untuk bina baru, asrat kita sebenarnya nak buat lebih daripada bilangan tahun ini cuma dalam masa yang sama kita perlu kurangkan peruntukan untuk baiki rumah," ujarnya.