• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Konsert Coldplay Patut Dibatalkan - Mufti Terengganu

KUALA TERENGGANU, 17 November – Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 November depan sepatutnya dibatalkan.

Mufti Terengganu, Prof Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata ia berikutan situasi terkini yang berlaku kepada umat Islam di Palestin.

Katanya, umat Islam perlu menzahirkan rasa simpati terhadap kesengsaraan serta kesedihan yang ditanggung oleh mereka di sana.

“Konsert ini sepatutnya dibatalkan ketika isu memboikot sumbangan terhadap Israel kini sedang heboh diperkatakan.

“Oleh itu, sumbangan kepada elemen-elemen negatif yang dikaitkan dengan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) serta yang berkaitan juga perlu diboikot sama," jelasnya

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Tambah Sabri, dalam tempoh kempen memboikot atau himpunan sebagai tanda solidariti kepada saudara Islam di Palestin.

Beliau berkata, adalah perlu untuk umat Islam bagi meningkatkan lagi amal ibadah khususnya melibatkan tumpuan kita di masjid-masjid di negara ini.

“Seharusnya kita umat Islam mengimarahkan masjid dan majlis ilmu untuk memperbaiki ibadah kita ke tahap yang lebih baik pada setiap hari dan tidak terhenti setakat itu sahaja.

“Usaha boikot pun tidak seharusnya dibuat secara bermusim dan secara berterusan.

"Ia bagi mengukuhkan lagi usaha kita ke arah membebaskan Palestin yang kini dibelenggu kezaliman,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: