KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Jenazah 13 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas tragis di Lebuh Raya Timur–Barat (Gerik–Jeli) awal pagi tadi kini sedang dalam perjalanan ke Terengganu dan dijangka tiba sekitar jam dua pagi.
Kenderaan yang membawa jenazah dilaporkan bertolak dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh sekitar jam 9 malam tadi. selepas selesai proses pengecaman, pengurusan dan kafan jenazah.
Tragedi menyayat hati itu berlaku awal pagi tadi apabila bas yang membawa pelajar UPSI dipercayai hilang kawalan dan terbabas di laluan berbukit di kawasan Gerik–Jeli.
Bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih ke Tanjong Malim itu dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan serba guna (MPV) yang berada di laluan sama dari arah Jeli ke Gerik.
Akibat perlanggaran itu, bas terbabas dan terbalik, manakala MPV terjunam ke dalam parit laluan bertentangan.
15 pelajar disahkan meninggal dunia, manakala beberapa lagi mangsa nahas termasuk empat penumpang MPV dalam kejadian yang sama dilaporkan tercedera.