• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Konvoi Motosikal 1,584 Kilometer Promosi Taman Negeri

KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Sebanyak 32 motosikal berkuasa tinggi mengambil bahagian dalam konvoi sejauh 1,584 kilometer (km) sempena mempromosikan Taman Negeri Terengganu.

Acara pelepasan peserta konvoi Program Kenali Taman Negeri-North Chapter anjuran Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu itu telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja di perkarangan Wisma Darul Iman, hari ini.

Tengku Seri Bijaya Raja berkata, aktiviti konvoi bermotosikal tersebut adalah platform untuk memberikan hebahan dan maklumat berkaitan produk yang terdapat di Taman Negeri Terengganu.

“Selain memberikan kesedaran awam kepada umum tentang pentingnya alam semulajadi kepada manusia dan tanggungjawab untuk melindunginya yang perlu dipikul bersama,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Menurut beliau, konvoi selama tiga hari dua malam itu akan mengunjungi Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

“Di setiap hentian, peserta konvoi bersama-sama pasukan promosi akan melakukan aktiviti hebahan untuk mempromosikan Taman Negeri yang ada di negeri kita antaranya Taman Negeri Setiu Wetlands serta Taman Negeri Kenyir,” ujarnya.