• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Konvoi PKM Kijal Pengikat Ukhuwah Misi Banjir Di Kedah

KEMAMAN, 30 Ogos - Konvoi bantuan banjir Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal ke Kedah sebagai tanda prihatin dalam mengikat tali persaudaraan sesama insan yang ditimpa musibah.

Diketuai oleh Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh, pasukan yang disertai 36 orang petugas itu dibantu oleh 10 buah kenderaan termasuk pacuan empat roda dengan muatan keperluan mangsa banjir merentas dua negeri di Banjaran Titiwangsa ke bumi Darul Aman.

Hazri Jusoh (kiri) disantuni oleh petugas banjir.

"Alhamdulillah, sampai kami di bumi Jelapang Padi hari ini dalam misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di sini.

"Terima kasih di atas sambutan dan penerimaan oleh pihak urusetia operasi banjir di kawasan Jerai dengan kehadiran kami bersama sedikit sumbangan wang tunai dan barangan keperluan di sini," katanya.

"Insya-Allah dengan keprihatinan ini semoga ianya menaikkan lagi tali persaudaraan sesama kita dalam membantu mereka yang ditimpa kesusahan sebagaimana yang dilakukan oleh petugas dari Kedah ketika banjir besar yang melanda Kemaman pada tahun 2013 lalu," ucapnya lagi.

Sebahagian petugas memunggah barangan bantuan.

Hazri yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada para penyumbang yang turut membantu.

"Jutaan terima kasih kepada semua sama ada daripada syarikat mahupun individu kerana bersama menjayakan misi bantuan kemanusiaan ini," ujarnya.

Pengarah Majlis Tindakan PAS DUN (MTD) Kijal itu ditemui oleh pemberita di Pos Kawalan Operasi Bencana, PAS Kawasan Jerai di Masjid Wustho, Gua Cempedak, kelmarin.

Pada masa sama, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam turut menghulurkan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan di Pos tersebut bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa.

  • Peserta Muslimat turut menjayakan misi.

Konvoi kemudian bergerak ke kaki Gunung Jerai dan ke kawasan Merbok untuk melihat kesan banjir yang disebabkan oleh fenomena 'kepala air' yang berlaku pada 18 Ogos lalu dengan meragut enam nyawa.

Konvoi tersebut turut disertai oleh wakil PKM Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam beserta pegawainya, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Zabidin Awang dan Ahli Jawatankuasa MTD Kijal bersama Pengarah Khidmat Malaysia Kijal, Zawawi Mohamed.

Peserta konvoi sempat berfoto sebagai kenangan.

 


Tag: