• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

KOPERAT Tiup Semangat Rakyat Terengganu Sambut Merdeka

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Anak syarikat kerajaan negeri, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu (KOPERAT) telah mengagihkan 3,000 jalur gemilang kepada rakyat Terengganu bagi meniupkan semangat patriotisme kalangan mereka sempena bulan kemerdekaan pada tahun ini.

Pengurus Besar KOPERAT, Sayed Abdul Rahman Engku Sulong, berkata bendera itu telah diagihkan kepada orang ramai yang melalui Dataran Awam Pantai Batu Burok dengan kenderaan bagi memastikan bendera terbabit berkibar megah di kereta dan motor masing-masing, hari ini

Jelasnya usaha dilakukan itu bertujuan untuk menaikkan semangat patriotik di kalangan rakyat agar cintakan negara dimana kempen mengibarkan bendera 'Jalur Gemilang' itu bertepatan dengan saranan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Sebenarnya ini merupakan salah satu program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) yang tujuan utamanya selain memperkenalkan anak syarikat kerajaan negeri ini kepada orang ramai ia juga bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan.

"Jadi ini merupakan inisiatif kita lakukan, untuk memastikan setiap kenderaan dipasang bendera ini di kenderaan masing-masing untuk menzahirkan semangat sayangkan negara, dan sentiasa  berusaha untuk saling bersatu agar dapat hidup dalam keadaan aman dan damai tanpa adanya pergolakan dan perpecahan,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Ujarnya lagi, program seumpama itu telah digerakkan sejak tahun 2015 lagi, dan ia tidak dapat diteruskan hanya ketika pandemik melanda negara dimana setiap tahun menjelang bulan kemerdekaan syarikatnya itu akan mengagihkan bendera berkenaan dalam usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan.