Berita :
Kos Sara Hidup Jadi Cabaran Utama Walaupun Kadar Kemiskinan Turun
Kos Sara Hidup Jadi Cabaran Utama Walaupun Kadar Kemiskinan Turun
Rohayati Ripin
23 Apr 26
5

KUALA TERENGGANU, 23 April – Tekanan kos sara hidup dikenal pasti sebagai cabaran paling kritikal yang dihadapi rakyat Terengganu ketika ini, meskipun kadar kemiskinan mutlak menunjukkan penurunan dalam tempoh dua tahun kebelakangan.

 Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Negeri, Maliman Kassim berkata, situasi tersebut selari dengan titah KDYMM Pemangku Raja yang menzahirkan kebimbangan terhadap isu kemiskinan yang masih menjadi dilema kompleks di setiap negeri.

 Menurut beliau, kadar kemiskinan mutlak di Terengganu menurun daripada 6.2 peratus pada tahun 2022 kepada 4.8 peratus pada tahun 2024, namun peningkatan Pendapatan Garis Kemiskinan kepada RM2,841 menggambarkan tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai rakyat.

 “Ini menunjukkan cabaran rakyat hari ini bukan sekadar keluar daripada kategori miskin, tetapi bagaimana untuk hidup dengan bermaruah, stabil dan sejahtera,” jelasnya.

 Beliau berkata demikian dalam penggulungan pada Persidangan DUN Terengganu, semalam.

 Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri perlu terus memperkukuh pendekatan bantuan bersasar dan memperluas program intervensi ekonomi isi rumah, termasuk latihan kemahiran serta peluang pekerjaan khususnya kepada golongan rentan seperti ibu tunggal, warga emas dan keluarga berpendapatan rendah.

 Dalam masa sama, Maliaman turut menekankan bahawa kebajikan moden perlu beralih daripada sekadar pemberian bantuan kepada usaha membina keupayaan rakyat agar lebih berdikari dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

 “Titah KDYMM Pemangku Raja turut mengingatkan bahawa kestabilan keluarga dan kesejahteraan sosial tidak boleh dipisahkan daripada aspek ekonomi, sekali gus menuntut pendekatan menyeluruh dalam menangani isu kos sara hidup yang semakin mendesak,” tambahnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan