• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KPDNHEP Perkenal Penguatkuasaan Prihatin

HULU TERENGGANU, 5 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memperkenalkan kaedah baharu menerusi penguatkuasaan prihatin ekoran wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Menterinya, Dato' Sri Alexander Nanta Linggi berkata program kementerian itu bertujuan memantau dan melihat perniagaan bergerak semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP). 

Katanya, ia merupakan penguatkuasan secara berimbang iaitu gabungan penguatkuasaan  berhemah dan legalistik terhadap peniaga dari kumpulan sasar tertentu yang tidak patuh undang-undang bawah KPDNHEP.

"Jika sebelum ini, penguatkuasa KPDNHEP lebih tegas ke atas peniaga yang melanggar undang-undang tetapi kali ini, kita lebih berhemah sesuai dengan keadaan semasa yang mana ramai di antara mereka baru memulakan kembali perniagaan.

"Pendekatan nasihat akan digunakan terlebih dahulu dan jika masih melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan maka tindakan yang lebih tegas akan diambil," ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pelancaran Penguatkuasaan Prihatin Di Pasar Pagi Kampung Bukit Diman, Ajil di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ajil, Maliaman Kassim dan Pengarah KPDNHEP, Shaharuddin Mohd Kia.

Tambahnya, pihak penguatkuasa KPDNHEP hanya akan dilaksanakan ke atas perniagaan kecil termasuk premis terbuka, premis bermusim, gerai sementara, premis di kawasan pendalaman dan lain-lain yang difikirkan perlu.

" Penguatkuasaan prihatin ini terpakai atas kesalahan yang bersifat kecil oleh peniaga seperti penandaan harga barang dan caj perkhidmatan, penentusahan alat timbang dan sukat, jualan murah danjualan  barang kawalan.

"Kaedah ini memberi ruang dan peluang kepada peniaga dari kumpulan sasar untuk buat tindakan pembetulan dan mematuhi peruntukan perundangan di bawah KPDNHEP," jelasnya.

Sementara itu mengulas tentang pembukaan cawangan KPDNHEP di Hulu Terengganu, Alexander berkata  pihaknya akan membuat kajian terlebih dahulu sebelum memberikan kelulusan.


Tag: