• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

KPT Tawar Tiga Program Menerusi Gap Year


 Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bakal menawarkan tiga program kepada penuntut tahun dua dan ke atas menerusi Program Gap Year yang akan dilaksanakan di seluruh institusi pengajian tinggi awam menjelang September ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh berkata, antara program yang dirangka oleh KPT termasuklah Kesukarelawanan Khidmat Negara, kesukarelawanan dan Umum.
Katanya, program itu akan menempatkan penuntut untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di agensi badan beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan, Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selama setahun.
"Bagi Gap Year kesukarelawanan, ia adalah program kerjasama antara universiti bersama agensi yang terbabit untuk penuntut melaksanakan aktiviti kesukarelawanan selama tiga bulan sehingga setahun.
"Manakala bagi program umum, ia berbentuk lebih terbuka kepada penuntut yang ingin menangguhkan pengajian bagi membabitkan diri di dalam aktiviti sukan, keusahawanan, meningkatkan kemahiran dan pelancongan,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Konvensyen Pemimpin Mahasiswa Kebangsaan dan Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Kebangsaan 2017 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.
Idris berkata, aktiviti yang dirancang oleh pelajar perlu mendapat kelulusan dan mengikut syarat yang ditetapkan oleh universiti masing-masing.
Katanya, tempoh minimum program adalah selama satu semester dan tempoh maksimum adalah selama setahun kalendar akademik.
"Malah, penuntut yang tamat peperiksaan akhir semester boleh keluar daripada sistem akademik biasa dan boleh memilih sama ada ingin melakukan kerja kesukarelawan bersama badan NGO, membantu keluarga, bekerja atau melancong untuk memperoleh pengalaman yang tidak pernah dilakukan sebelum ini,"katanya.
Beliau berkata, dengan memberi pelepasan selama setahun kepada penuntut mereka diharap dapat memanfaatnya dengan melakukan aktiviti atau kerja yang memberi faedah terutama untuk mematangkan diri mereka.
Menurutnya lagi, jika pelajar memilih bekerja mereka boleh mencari tempat bersesuaian dengan bidang yang dipelajari mereka.
Oleh itu, katanya secara tidak langsung ia memberi pengalaman secara praktikal kepada penuntut selain menambah pengetahuan yang lebih mendalam sebaik mereka menyambung semester mereka selepas tamat Gap Year itu kelak.

Tag: