• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KSN Lawat Pejabat MB, UTC Sempena Lawatan Sehari



Dr. Mohd Ali Hamsa ketika melawat Jabatan Imigresen di UTC Terengganu, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Dr Mohd Ali Hamsa meluangkan masa kira-kira setengah jam bagi bertemu dan minum pagi bersama Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sejurus pertemuan bersama pemimpin tertinggi negeri sempena lawatan sehari ke Terengganu itu, beliau kemudiannya ke  Pusat Transformasi Bandar (UTC) Terengganu, bagi melihat sendiri perkhidmatan agensi-agensi persekutuan dan negeri yang tersedia di Paya Bunga Square berkenaan.

Turut serta bersama rombongan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' A. Rahim Jusoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato' A. Rahman Yahya dan ketua-ketua jabatan lain.



Antara perkhidmatan agensi persekutuan seperti Jabatan Imigresen, Klinik 1Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan serta  kaunter agensi kerajaan negeri seperti Yayasan Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Berdasarkan rekod, UTC Terengganu memulakan operasinya pada 27 Jun lalu melibatkan 30 agensi termasuk agensi persekutuan, negeri serta swasta.

Sehingga Oktober, UTC mencatatkan pengunjung seramai lebih 180,000 orang, dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan bilangan pengunjung paling ramai iaitu lebih 47,000 orang. 

Selesai lawatan ke UTC, Mohd Ali kemudiannya meneruskan program beliau untuk merasmikan Majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam di Dewan Besar, Wisma Darul Iman.

Majlis perhimpunan itu dihadiri kira-kira 5,000 pejawat awam Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Tag: