• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445
Makanan menarik yang ada di KT Walk.
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - KT Walk yang menjadi pusat kepada pengunjung untuk menikmati pelbagai produk tradisi dan makanan Terengganu kini menjadi tumpuan utama bandaraya Kuala Terengganu menjelang hari minggu.

Berkonsepkan ‘uptown’, KT Walk yang dikelola oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu menjadi persinggahan segenap lapisan masyarakat dari dalam dan luar negeri.

Rata-rata pengunjung yang ditemui menyatakan rasa teruja dan gembira apabila mengunjungi KT Walk.
Quratul Ain (tengah) yang berasal dari Johor tertarik dengan suasana dan makanan yang ada di sini.
Pengunjung kali pertama, Nur Quratul Ain Mohd Faizal, 16, berkata, KT Walk yang menyajikan pelbagai makanan tradisional menarik dan berkualiti ternyata memberinya kegembiraan setelah penat belajar di sekolah.

“Di sini macam-macam makanan menarik ada, makanan Terengganu seperti keropok lekor, nasi dagang.

“Saya baru pertama kali datang sini, seronok la, sini ada pakaian (identiti) Terengganu, ada persembahan kebudayaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual wartawan di pasar malam KT Walk.

Sementara itu, Azizah Aziz, 63, seorang peniaga berkata, suasana santai serta tenang yang ada di KT Walk ternyata mengujakan semua orang untuk berkunjung ke sini.

“Menariknya saya sendiri pun yang dah lama berniaga di sini sangat berpuas hati.

“Mak cik yang mula berniaga di sini pada pukul 5 petang biasanya akan tutup gerai pukul 9, pukul 9 makanan (nasi dagang) dah habis terjual,” ujarnya yang bertutur dalam loghat Terengganu.

Pasar malam KT Walk telah dibuka sejak 24 April 2015 di mana gerai jualan adalah sepanjang 500 meter bermula di bangunan Menara Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) hingga bangunan Tabung Haji membabitkan hampir 100 peniaga.
Pakaian beridentitikan Terengganu menjadi buruan pengunjung.
Ia terbahagi kepada tiga segmen iaitu jualan makanan tradisi Terengganu, produk asas tani seperti buah-buahan serta sayuran dan gerai pelbagai yang menjual cenderahati, kraftangan serta pakaian.

Aktiviti menarik yang dikawal selia oleh MBKT juga menarik perhatian pelancong dari luar negara untuk mengunjungi KT Walk, antaranya persembahan kebudayaan seperti lagu tradisional Terengganu.

Malam kesenian Islam, demontrasi silap mata, ayam serama, canting batik dan sukan mini marathon dan 'street soccer' turut diadakan di pentas utama.

Apa yang menarik, 'uptown' yang bermula pada 5 petang dan berakhir pada 12 malam setiap hari Jumaat itu hanya dikenakan sewa tapak sebanyak RM 40 sebulan.

Tag: