• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kuih Akok Chalok Sedap 'Terlajok'

SETIU, 22 September - Keenakan kuih akok di Kampung Chalok Kedai antara yang menjadi tumpuan dan dinanti-nantikan ramai pelanggan setiap hari.

Pengusaha kuih akok D' Kubur, Sarifah Yaacob berkata, punca rezeki itu pada mulanya diusahakan ibu dan kakaknya sebelum dia bersama suaminya, Osmera Omar, 46, mengambil alih perniagaan tersebut sejak tiga tahun lepas.

"Setiap hari kita mampu membuat jualan sebanyak 500 biji sehari dan ditambah dengan jualan kuih lain menjadikannya sebanyak 800 biji.

"Bagi memenuhi permintaan pelanggan, setiap hari kira-kira 700 hingga 800 biji telur akan digunakan untuk membuat adunan, sekiranya hari cuti jumlah yang digunakan akan bertambah kerana jumlah pelanggan juga meningkat," kata Sarifah, 46, ketika ditemubual oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini hari ini.

Osmera Omar menuangkan adunan kuih akok ke dalam acuan yang dibakar menggunakan dapur arang.

Katanya, setiap hari mereka berdua akan bangun seawal jam 4 pagi bagi penyediaan kuih akok untuk dijual kepada pelanggan.

"Kami memasak atau membakar kuih ini dengan menggunakan dapur supaya keaslian aromanya tidak hilang," jelasnya.

Selain akok, mereka turut menjual kuih bahulu, cara, bingka kelapa, bingka ubi kayu dan kuih bakar pandan, jualan bermula jam 10 pagi hingga habis.

Tambahnya lagi, nama kedai Kuih Akok Chalok D' Kubur diambil sempena lokasi kedai yang betul-betul selepas Tanah Perkuburan Islam Chalok Kedai.

Mereka yang berminat membuat tempahan boleh menghubunginya di talian 012-4687021.

Sarifah Yaacob menunjukkan kuih akok yang telah siap dibakar.
Sarifah Yaacob menunjukkan kuih akok yang telah siap.

 


Tag: