• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Kuliah Dhuha Di Pasar Tani Bandar Permaisuri



Oleh : Fahmi Izzuddin

SETIU, 7 Ogos - Kuliah dhuha mingguan di Tapak Pasar Tani Bandar Permaisuri yang diadakan setiap hari Selasa berjaya menggamit suasana baharu di sini.

Program berkenaan dikendalikan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Parlimen Setiu dengan kerjasama Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu dan Jabatan Kerajaan di Daerah Setiu.

Penyelia i-MiTS DUN Permaisuri, Yunus Sulaiman selaku urus setia program berkata kuliah dhuha dilaksanakan setiap  Selasa kerana  adanya pasar tani dan pada masa yang  sama pengunjung dapat mengambil peluang mendengar kuliah yang disampaikan.

"Kita menerima maklum balas positif daripada pengunjung yang hadir,rata-rata mengatakan jarang majlis ilmu sebegini dibuat sebelum ini.

"Setiap minggu pengkuliah yang dijemput adalah berbeza, hal ini supaya menjadi penarik minat kepada pengunjung yang hadir,”katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika ditemui di sini hari ini.


Tambahnya, setiap minggu hampir 60 hingga 70 orang pengunjung yang hadir mendengar kuliah dhuha memenuhi tiga buah kanopi yang disediakan.

“Majlis sebegini sedikit sebanyak menjadi medan penyampaian dakwah kepada masyarakat umumnya,” kata Yunus.


Tag: