• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kumpulan Terminus, China Mahu Melabur Di Negeri SG4

KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menyifatkan pertemuan beliau dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu sebagai positif dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi negeri.

Menurut beliau, pertemuan bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya itu turut dihadiri oleh wakil dalam 'State Goverment Four' (SG4) iaitu Kelantan, Perlis, Kedah.

“Antara perkara yang turut dibincangkan dalam satu pertemuan khas yang disusun oleh Tun M bersama-sama negeri SG4 adalah mengenai unsur nadir bumi ataupun Rare Earth Element (REE) dan pelabur dari China yang menunjukkan minat untuk melabur di empat negeri ini.

“Mengenai REE, satu taklimat telah dibentang oleh penasihat Tun M sendiri yang telah buat kajian mengenai REE dan ekonomi yang boleh dikuasai melalui REE. Termasuk potensi kerana ada tiga negeri dalam SG4 iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikatakan mempunyai unsur REE ini.

“Diceritakan sedikit sebanyak dari segi hasil yang perlu kita terokai supaya perkara ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh negeri masing-masing,” ujarnya ketika dihubungi pemberita.

Sementara itu katanya, delegasi dari China iaitu Kumpulan Terminus yang mempunyai kepakaran dalam ekonomi digital turut sama dalam pertemuan SG4 bersama Tun M telah membincangkan peluang pelaburan syarikat serta berminat untuk berkerjasama dengan keempat-empat negeri terbabit.

“Mereka ingin melabur dalam apa jua yang kita kehendaki terutamanya bidang ‘smart city’.

“Bagi Negeri Terengganu, kita letakkan sasaran kita supaya pelabur melihat macam mana, kita banyak bahan mentah tetapi kita tidak boleh optimumkan pendapatan ke arah maksimum, kita hanya jual ‘raw material’ tetapi kita mahu ‘speed over’ ekonomi itu sampai ke ‘down stream’.

“Kita minta mereka tengok ruang mana, kita ada bauksit, REE, bijih besi, silica, jadi nak ke arah supaya kita boleh jana ekonomi daripada hasil bahan mentah yang kita ada,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kumpulan Terminus menunjukkan reaksi yang positif dan sudi berkongsi kepakaran yang mereka miliki.

“Selepas ini kita akan wujudkan jawatankuasa di peringkat negeri (SG4) masing-masing untuk lebih fokus lagi berbincang mengikut keperluan negeri dengan Kumpulan Terminus ini,” katanya.

Justeru katanya, diharapkan dengan kedatangan pelabur akan mempercepat dan merancakkan lagi pembangunan di Negeri Terengganu khususnya dalam bidang ekonomi digital.

“Dari sudut REE pula, kita perlu bergerak pantas untuk belajar, benda ini baru, banyak kepakaran dan maklumat yang diperolehi jadi harapan kita pasukan dari Negeri Terengganu dapat wujudkan pasukan yang mantap dari segi pemahaman, teknologi pun kita perlu cari kerjasama dengan negara-negara yang lebih ke depan,” ujarnya.