Kunyit Hidup Rahsia Keenakan Masakan di Kunyek2

KUALA NERUS, 3 Januari - Masakan bergoreng menggunakan kunyit hidup untuk makan tengah hari? Bunyinya sangat ringkas, tetapi rasanya cukup padu untuk anda sekeluarga nikmati dan pastinya lebih ‘rasa’ pada setiap gigitan.

Restoran Kunyek Kunyek  adalah sebuah restoran yang menyajikan hidangan khas Melayu, menggunakan kunyit hidup sebagai resipi utama dalam setiap masakan bergoreng ayam, ikan, daging, tulang, sotong dan udang sejak Mac 2020 di Terengganu.

Pemilik restoran, Mariam @ Sharifah Mariam Sh Along, yang ingin memperkenalkan cita rasa tradisional Melayu kepada masyarakat berkata bukan mudah untuk mecapai kejayaan yang dicapainya pada hari ini.

Bermula di Kuala Nerus, kini dia dan suami, Tengku Iskandar Tengku Salim mempunyai tiga lagi cawangan restoran Kunyek2 iaitu di bandar Kuala Terengganu, Jalan Kebun Klang dan di Shah Alam, Selangor.

“Jika ditanya apa keistimewaan masakan kami, hanya satu jawapan saya, rahsia keenakannya terletak pada ramuan utama iaitu kunyit hidup yang segar.

“Kunyit hidup ni bukan sahaja bertindak sebagai bahan pewarna semulajadi yang mampu untuk mencantikkan makanan, malah ia juga boleh memberikan perisa dan aroma yang menaikkan rasa makanan macam masakan mak-mak kita kat kampung,”ujarnya.

Istimewa di Kunyek2, Mariam berkata pelanggan dapat menikmati set kombo yang disediakan bersama bawang goreng, sayur, sambal serta sup untuk dimakan dengan nasi panas dengan harga berpatutan.

“Serendah RM10 untuk set kombo makan tengah hari yang sesuai untuk dinikmati semua golongan terutama pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi sekitar restoran kami,”katanya.

Ditanya tentang pemilihan nama kunyek2 pada restorannya, dia berkata perkataan tersebut diilhamkan dari kampung suaminya di Hulu Terengganu.

“Suami berasal dari Kampung Nibong, Hulu Telemong yang mana orang-orang sana menyebut kunyit sebagai kunyek… bagi saya ada keindahan slanga di situ maka lahirlah nama Restoran Kunyek2,” tambahnya.

Mariam juga berkata, bagi memastikan kualiti rasa semua hidangan tidak berubah, dia menggunakan konsep restoran makanan segera iaitu semua bekalan makanan disediakan secara berpusat sebelum diagihkan ke cawangan-cawangan lain.

“Konsep ini tak memerlukan tenaga kerja yang ramai atau kepakaran tukang masak, pekerja kami hanya perlu goreng dan hidangkan dalam masa yang singkat,”katanya yang turut memiliki perniagaan katering di sekitar Terengganu.

Pasangan suami isteri itu turut menyasarkan 30 cawangan  Kunyek Kunyek di seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun dengan  menu mudah dan ‘standard’ buat semua pelanggan mereka.


 


Tag: