• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUTT Dilantik Agensi Hentian Setempat

KUALA TERENGGANU, 20 Disember - Kerajaan negeri melantik Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) secara rasminya sebagai Agensi Hentian Setempat (One Stop Agency) untuk semua permohonan permit bagi kerja-kerja korek gali di seluruh Terengganu.

Pengerusi Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata KUTT bertanggungjawab membangunkan Koridor Utiliti negeri Terengganu termasuk membangun pangkalan data bersepadu bagi semua jajaran utiliti merangkumi tenaga elektrik, bekalan air, rangkaian telekomunikasi dan sistem kumbahan.

“Imbalan bagi pelantikan itu, KUTT disyaratkan untuk membayar sebahagian daripada pendapatan sebagai royalti kepada negeri bagi setiap tahun beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan media sempena Sesi Penyerahan ‘Mock Cheque’ KUTT kepada Kerajaan Terengganu bagi Bayaran Royalti Tahun 2023 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir Ts Ahmad Azhan Suhaili menyerahkan ‘mock cheque’ kepada Hanafiah dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata KUTT memproses sejumlah 296 permohonan mendapatkan permit korek gali jalan dengan jumlah bayaran sebanyak RM13.97 juta sehingga 30 November lalu.

Menurutnya jumlah pembayaran royalti (kontribusi) kepada Perbendaharaan Negeri Terengganu bagi jarak bersih keseluruhan permohonan diterima sepanjang 943,801.50 meter ialah sebanyak RM1.42 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember ini.

Katanya, KUTT mencatatkan pertumbuhan kewangan memberangsangkan, hasil prestasi cemerlang dari semua bahagian membolehkan syarikat itu sekali lagi berpeluang mengembalikan royalti lebih besar untuk kerajaan negeri Terengganu berbanding hanya RM447,749.97 tahun lalu dan RM250,732.50 tahun sebelumnya.

Tambah beliau, pembayaran royalti yang mampu diberikan KUTT secara berterusan mencerminkan keupayaan syarikat itu dalam menguruskan aset dan bekerjasama di dalam memacu pertumbuhan penyediaan utiliti di seluruh negeri walaupun syarikat tersebut baru berusia tiga tahun.

“Selain itu ia juga merupakan bukti komitmen syarikat dalam memberikan pulangan yang mapan bagi setiap pelaburan yang dimanahkan,” jelasnya.

Di samping itu katanya, KUTT turut sama berganding bahu dengan kerajaan negeri bagi membantu rakyat Negeri Terengganu dengan mengeluarkan sejumlah keuntungan kepada Tabung Darul Iman (TDI).

KUTT juga katanya menyumbang RM300,000 di bawah peruntukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai satu cara menyalurkan peruntukan kepada rakyat negeri Terengganu melalui TDI.

“Dengan dorongan usaha proaktif KUTT, industri ini diyakini mampu memberi kesan kepada ekonomi negeri melalui nilai tambah dalam pekerjaan, pembangunan kemahiran, menambah baik proses kepada pihak berkepentingan dan perolehan data maklumat utiliti negeri yang lebih lengkap dan terperinci,” ujarnya.


Tag: