• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Ladang Solar RM400 Juta di Marang Manfaatkan 55,000 Rakyat

MARANG, 27 Oktober - Projek ladang solar Coara di Marang yang bernilai RM400 juta mampu membekalkan tenaga elektrik kepada kira-kira 55,000 isi rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu Dr Mamad Puteh berkata, projek penjanaan tenaga solar berkapasiti 116 Megawatt (MW) itu beroperasi sepenuhnya semalam.

Katanya, projek yang bermula pada Februari tahun lalu meliputi kawasan seluas 245 hektar dan merupakan ladang PV solar yang terbesar di Malaysia.

“Projek yang bermula pada awal Februari tahun lepas telah menelan kos sebanyak RM400 juta mampu mencapai kecekapan pengeluaran tenaga maksimum sehingga 116 Megawatt (MWp), dengan anggaran penghantaran tenaga bersih sebanyak 230 GWj setahun.

“Katanya penghasilan tenaga itu akan membantu meningkatkan kemampanan alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan sehingga 120,000 tan karbon dioksida setahun,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Ladang Solar Coara Marang yang bertempat di Jalan Felda Rantau Abang 1, Marang, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Dato’ Mohamad Razif Abdul Mubin, Pengarah Eksekutif Coara Sdn. Bhd., Susan Hemming dan Pengarah Syarikat ib voght GmbH, Anton Milner.

Sementara itu, Susan Hemming berkata, pihaknya berbesar hati dapat memainkan peranan dalam menjana tenaga bersih yang mampan dan tidak menghasilkan pelepasan gas rumah hijau serta mengurangkan pencemaran udara.

Untuk rekod, projek ladang solar ini merupakan ladang solar yang keempat di Terengganu selepas projek di Pulau Kerengga (Marang), Paka (Dungun), dan di kawasan Kemaman.

 


Tag: