• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lahirkan Generasi Seimbang di Kalangan Graduan- Sultanah Terengganu

KUALA NERUS, 5 Disember -Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menyeru  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) agar memberi tumpuan terhadap usaha melahirkan generasi seimbang di kalangan graduan.

Baginda bertitah UniSZA harus membebaskan anak muda dari penjara maya, kepada merdeka jiwa, mandiri peribadi dan teguh iman pada zaman kecanduan 'skrin dan alam meta'. 

"Dunia semakin tua dan masyarakat global terus berhadapan dengan ketidaktentuan dalam pelbagai aspek.Kecanduan ini merupakan punca kepada keruntuhan nilai. 

"Beta berharap, UniSZA memastikan, pendigitalan universiti, seiring dengan pembangunan sosial mahasiswa," titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-15 UniSZA yang akan berlangsung pada 5 hingga 8 November 2023, di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, disini hari ini.

Seramai 3,608 graduan Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah bakal menerima sijil masing-masing pada majlis konvokesyen tersebut.

Dalam masa sama, Baginda yang juga Canselor UniSZA menzahirkan ucapan tahniah atas komitmen seluruh warga UniSZA, dengan pencapaian kedudukan penarafan. 

"Beta dimaklumkan, UniSZA berada pada kedudukan 1,201 hingga 1,500, dalam Times Higher Education World University Ranking,"titah Baginda lagi.

Justeru itu, Sultanah Nur Zahirah berharap barisan Lembaga Pengarah Universiti, Pengurusan Tertinggi, staf akademik, staf Pengurusan dan Profesional serta Staf pentadbiran dan sokongan, akan terus menyumbang selaras dengan gagasan "Ilmu Demi Faedah Insan", sebagai jariah.