• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Lahirkan Lebih Ramai Usahawan Wanita Luar Bandar - Henry


KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar di kalangan wanita luar bandar.

Timbalan Menteri ii KPLB, Dato' Henry Sum Agong berkata, selaras dengan usaha tersebut, pihaknya menyediakan pelbagai program latihan kemahiran dan pembangunan usahawan wanita luar bandar melalui agensi-agensi berkaitan.

Katanya, sehingga hari ini, hampir 80 peratus daripada 3,100 usahawan wanita luar bandar telah pun berjaya melalui Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA).

"Menjadi hasrat KPLB, seminar ini dapat memberi pendedahan serta latihan dalam aspek kepimpinan di peringkat komuniti bagi membantu melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan.

"Seminar ini adalah antara program yang diberi tumpuan di bawah Teras 6-Wanita berdasarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) yang dilancarkan pada tahun 2019.

"Teras Wanita ini bertujuan melahirkan wanita luar bandar yang progresif dalam semua aspek kehidupan merangkumi ekonomi, pendidikan, kesihatan, sosial dan kepimpinan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar di Hotel Primula, Kuala Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun, Pengarah Institut Kemajuan Desa ( INFRA), Noraina Masduki.

Tambah Henry lagi, sasaran peserta bagi tahun 2020 adalah seramai 700 berbanding 3,100 pada tahun lepas kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) yang diteruskan sehingga 31 Disember ini.

Sehingga kini, terdapat 38,486 usahawan di Malaysia dengan 18,597 daripadanya adalah usahawan wanita manakala di Terengganu, terdapat 2,209 usahawan.