• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Laksana Titah Agong, Fokus Bajet 2021

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu dihayati masyarakat serta pemimpin negara dalam menghadapi COVID-19 dan perbentangan Bajet 2021.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, titah Baginda yang percaya terhadap kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat perlu diberi perhatian.

“Seri Paduka Baginda telah menyatakan, bajet 2021 sangat penting dalam menangani pandemik, titah sebegini menunjukkan Baginda memandang berat perkembangan yang berlaku dalam negara.

“Ramai yang belum faham bahawa Baginda mahu melihat suasana politik negara yang ada dalam negara diredakan dan tumpuan semua pihak tidak kira kerajaan atau pembangkang, seharusnya menyatukan rakyat bagi menghadapi masalah besar ini,” kata beliau selepas program Bulan Dakwah di Masjid Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, pagi tadi.

Mengulas lanjut mengenai Bajet 2021, beliau berkata, kawasan Parlimen Kuala Terengganu ada permintaan khusus melibatkan isu kemiskinan dan infrastruktur di bandar raya.

“Isu kesusahan hidup rakyat sentiasa memerlukan perhatian dan bantuan walaupun dianggap bandar raya, namun isu kemiskinan bandar perlu diberi perhatian bukan sekadar rupa luar dengan rumah dan bangunan batu tetapi isinya kosong.

“Kedua, isu infrastruktur seperti sistem perparitan dan longkang juga memerlukan peruntukan untuk penambahbaikan kualiti. Hal ini demikian kerana, isu kesihatan seperti denggi dan kebersihan turut berhubung kait dengan saluran perparitan jadi ini harus dimantapkan lagi,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), turut mengulas tentang rancangan penambahan peruntukan sektor tersebut yang sedang menghadapi cabaran COVID-19.

“Negara kita dicabar dari segi cara kerja dahulu yang secara manual perlu disesuaikan dengan pengenalan digitalisasi teknologi. MOSTI sudah kemukakan saranan dan akan diulas dalam belanjawan nanti,” kata beliau.