• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Laluan Basikal Teluk Ketapang Ke Kuala Ibai Dibuka Disember Ini

KUALA TERENGGANU, 28 November- Projek Pembinaan Laluan Basikal Teluk Ketapang ke Kuala Ibai akan dibuka kepada umum secara rasminya Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, kemajuan projek yang menelan belanja RM4.2 juta termasuk kerja-kerja pengukuran setakat ini sudah mencapai 95 peratus.

“Projek ini telah diberi milik tapak pada 20 Jun 2022 sehingga 13 ogos 2023. Namun demikian, terdapat tambahan masa dan projek dilanjutkan sehingga 11 November 2023.

“Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) adalah pemilik laluan manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) pula Pegawai Penguasa bagi projek tersebut,”katanya pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata demikian ketika menjawab soalan lisan oleh ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim yang ingin tahu apakah status perkembangan laluan berbasikal tersebut.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, baki kerja adalah pembinaan tembok batu dan sistem bekalan elektrik untuk lampu jalan di laluan basikal itu.

“Laluan basikal ini dijangka akan siap dan boleh digunakan pada pertengahan Disember ini.

“Kita berharap laluan ini menjadi pilihan bagi pengguna basikal seluruh Terengganu,” ujarnya.

Menurut beliau, perancangan kerajaan negeri adalah untuk menjadikan bumi Terengganu sebagai ‘Land Of Cyclist’ dan tentu sekali laluan berbasikal ini akan dikembangkan ke seluruh negeri ini.

“Meskipun sedemikian, kita mengakui keadaan kewangan semasa dan ini adalah pilot pojek.

“Kita akan melihat sambutan yang diberikan oleh pengguna basikal yang menggunakan laluan ini dan sekiranya positif kita akan kembangkan idea ini ke lokasi lain,” katanya.

Mengulas mengenai apakah tindakan terhadap penyalahgunaan laluan tersebut, Hishamuddin berkata, pihak MBKT akan memainkan peranan untuk memantau laluan berbasikal itu apabila dibuka nanti.